Difahamkan, restoran tersebut hanyut sejauh kira-kira lima kilometer (km) dibawa arus deras di Sungai Kelantan.
Kejadian berlaku pada jam 3.30 petang tadi berhampiran Tambatan Diraja, apabila restoran dan rakit itu tiba-tiba bergerak mengikut arus selepas tali pengikatnya terputus.
Menerusi laporan daripada Harian Metro, sumber dari Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) berkata, ketika kejadian, tiada pelanggan atau individu dalam rumah bot itu.
“Kebetulan pejabat Unit Marin APM Kelantan terletak hanya beberapa meter sahaja dari lokasi kejadian dan anggota kami segera menghidupkan sebuah bot untuk ‘mengejar’ restoran rumah bot serta rakit terbabit bersama pemiliknya.
“Dengan dibantu penduduk kampung yang turut bersama menggunakan dua bot, restoran terapung itu berjaya diselamatkan di Kuala Besar iaitu kira-kira lima km dari lokasi asal.
“Walaupun arus sungai deras tapi rumah bot itu memasuki alur yang sedikit perlahan alirannya menyebabkan kami berjaya mengejarnya,” katanya.