Imbas untuk muat turun aplikasi

Artikel

Wah, Ratu Rock Kini Tauke Cili… Ella Dilantik Sebagai Figura Peladang

today25 August 2022

Background

Ratu Rock negara, Ella dilantik sebagai figura peladang sekali gus mempromosikan acara Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2020, baru-baru ini.

Menerusi laporan Harian Metro, Ella atau nama sebenar Nor Zila Aminuddin yang semakin dikenali sebagai tauke cili berjaya meluahkan rasa syukur dengan perlantikan itu dan sebagai usaha menarik minat pembabitan generasi muda dalam bidang perladangan.

“Saya okey saja kalau dipanggil tauke cili, sebab itu bermakna orang dah tahu apa yang kita minat, selain daripada karier nyanyian. Pada masa sama, saya juga boleh ‘share’ apa yang kita buat kepada peminat dan masyarakat.

“Selain menyanyi, sekarang fokus saya memang berladang kerana berjasa pada tanah ini sebenarnya lebih memberikan ketenangan. Ditambah, kita pun minat,” katanya.

Menurut Ella, peminat bukan sahaja terkejut dengan pembabitannya dalam perladangan cili malah turut teruja dan gembira sehingga ada yang mahu menjadi peladang sepertinya.

“Ada yang minta kongsi ilmu dan tanya macam mana saya berjaya mengusahakan ladang cili itu. Sebabnya, saya banyak buat secara kaedah ‘smart farming’ dengan menggunakan teknologi baharu pertanian.

“Setakat ini, saya juga memberi peluang kepada pelajar dan sesiapa saja berminat yang dipilih untuk berkongsi ilmu dengan mereka mengenai kaedah ‘smart farming’ ini di ladang cili saya yang terletak di Jeram, Selangor,” katanya.

Tambahnya, pihak berkaitan akan sentiasa membantu bagi sesiapa yang berminat dalam bidang perladangan termasuk cara memohon bantuan kewangan untuk projek perladangan yang hendak diusahakan.

Selain itu, Ella berkata, perladangan juga penting untuk ‘food rescue’ negara pada masa akan datang.

Terdahulu, Ella dan suaminya, Azhar Ghazali mengusahakan tanaman fertigasi cili sejak 2017 dengan modal pusingan sebanyak RM150,000 yang membabitkan tiga ladang berkeluasan 1.2 hektar.

Sumber: Harian Metro

Written by: Aqilah


Previous post