Site icon Hot FM

Wamwamsam Single Terbaharu Joey Daud, Sarat Kritikan Sosial

Selepas mencuri perhatian penonton menerusi watak ikonik Daud M dalam filem terakhir arahan Allahyarham Mamat Khalid, kini pelakon, pelawak dan penyanyi versatil, Joey Daud, kembali mewarnai industri hiburan tanah air dengan single terbaharu berjudul Wamwamsam, yang dijadual dilancarkan secara rasmi pada 20 Mei 2025.

Menampilkan genre komedi pop rock eksperimental, Wamwamsam bukan sekadar hiburan kosong tetapi ia hadir dengan mesej sinikal penuh makna yang mengetuk kesedaran masyarakat tentang kepentingan wawasan dan pendidikan sebagai asas membina masa depan.

Dengan irama rancak dan lirik bersahaja tetapi ‘mengena’, lagu ini menyasarkan semua golongan daripada pelajar sekolah hingga ke pemegang dasar negara untuk merenung kembali hala tuju kehidupan.

“Lagu ni lahir daripada pengalaman hidup, pemerhatian sosial dan memori lama. Wawasan bukan hanya slogan, ia adalah cara hidup. Wamwamsam mungkin bunyinya kelakar, tapi mesejnya berat,” katanya.

Single ini turut diperkukuhkan dengan kolaborasi barisan komposer muda di bawah Luncai Emas, termasuk Ilham Nasir dan Hidayat Nasir, yang menyuntik elemen pop moden serta susunan muzik yang segar dan berani.

Bagi memperluas jangkauan serta mengangkat semangat kebangsaan, lagu ini juga menampilkan segmen rap khas oleh A.D, anggota kumpulan hip hop kreatif dari Sabah, Isohbatos.

Kehadiran A.D dengan gaya rap berbahasa Melayu Borneo menambahkan elemen unik yang menyatukan pendengar dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

“Ini bukan lagu untuk satu negeri, ini lagu untuk Malaysia. Bila A.D masuk studio dengan gaya dia yang ‘lain macam’, kami tahu lagu ni bakal meletup,” ujarnya lagi.

Lebih menarik, pelancaran Wamwamsam turut disertakan video muzik sinematik yang dihasilkan ala filem pendek menjadi pembuka tirai kepada projek filem Daud M yang sedang dalam pembikinan, berdasarkan watak popular yang pernah dilakonkan Joey.

Video muzik ini diarahkan oleh Amen Khalid, anak kepada arwah Mamat Khalid, yang mewarisi sentuhan magis bapanya dalam menyampaikan kisah rakyat dengan cara yang sinikal, lucu dan penuh makna.

Mengangkat kisah seorang pelajar kampung yang berwawasan tinggi dalam usaha melawan kekangan sistem pendidikan dan norma masyarakat, video ini penuh dengan visual dramatik, latar sekolah retro, watak guru eksentrik serta sindiran sosial yang tajam cukup untuk membuat penonton ketawa, sebak dan berfikir.

Exit mobile version