
PETALING JAYA: Ahmad Zahid Hamidi membidas pihak yang memainkan gambar lama beliau memikul bantuan banjir untuk mempersoalkan keadaan sebenar kesihatan beliau sekarang.
“Sebenarnya ini gambar lama saya yang dirakam semasa banjir di Pahang pada 7 Jan,” kata Presiden Umno itu di Facebook.
Beliau berkata pihak tertentu cuba mengaitkan gambar lama itu dengan rawatan yang beliau terima di luar negara bulan lalu.
“Dakyah mereka saya baru selesai menjalani rawatan tetapi sudah berupaya memikul barangan berat untuk mangsa banjir pada minggu lalu,” katanya.
Zahid berkata pihak berkenaan tidak sudah-sudah dengan politik “nista” dalam keadaan ramai rakyat berdepan kesulitan akibat bencana.
“Nampak gaya mereka ini masih tidak serik-serik,” katanya.