Kisah Hachiko merupakan kisah benar yang berlaku di negara Jepun tentang kesetiaan seekor anjing yang tetap menunggu tuannya walaupun hakikat sebenar tuannya telah pun meninggal dunia.
Sudah menjadi rutin buat haiwan tersebut untuk ‘menghantar’ tuannya pergi bekerja dengan mengikutnya ke stesen keretapi Shibuya dan ‘menjemput’ dia kembali setiap petang di tempat yang sama, pada waktu yang sama.
Walau bagaimanapun pada 21 Mei 1925, seperti biasa Hachiko menunggu tuannya pulang di tempat yang sama namun tuannya masih juga tidak kelihatan. Hachiko tidak tahu bahawa tuannya, Professor Eizaburo telah meninggal dunia secara mengejut ketika bekerja akibat pendarahan otak.
Meskipun begitu, rutin Hachiko tetap sama iaitu menunggu kepulangan tuannya selama 10 tahun sehinggalah haiwan itu ditemui mati di tepi jalan berdekatan stesen keretapi Shibuya. Selepas kematian Hachiko, monumen haiwan itu telah didirikan di stesen keretapi tersebut.