
BUTTERWORTH: MCA Pulau Pinang mendakwa DAP menjalankan “kempen jahat dan tidak bertanggungjawab” dengan menggesa pengundi memilih parti itu bagi memastikan kerusi ketua menteri kekal dipegang wakil Cina.
Ketuanya Tan Teik Cheng berkata, tindakan berkenaan tidak wajar dilakukan kerana mengikut konvensyen negeri itu sentiasa mempunyai ketua menteri berketurunan Cina.
Katanya, DAP dilihat cuba menimbulkan tanggapan palsu bahawa jika Barisan Nasional (BN) berkuasa di Pulau Pinang semula, kerusi ketua menteri akan dipegang wakil Umno.
“Saya ingin memberitahu orang Cina Pulau Pinang bahawa Umno sahaja tidak boleh mentadbir Pulau Pinang. Walaupun Umno menang, mereka memerlukan sumbangan kerusi MCA untuk mentadbir.
“Jika BN berkuasa, ketua menteri Pulau Pinang mesti daripada MCA atas semangat BN. Tiada keraguan tentang itu,” katanya disambut tepukan gemuruh…