Imbas untuk muat turun aplikasi

Artikel

Aeril Zafrel & Wawa Zainal Harap Impian Bina Masjid Dipermudahkan – “Nak Jawab Pasal Cerita Ni Pun Segan Sebab…”

today22 January 2023

Background

“Saya nak jawab pasal bina masjid ini pun segan sebab perancangannya terlalu lama. Kami takut orang anggap kami hanya ‘gebang’, tapi bukan kuasa kami sebenarnya. Semuanya harus mengikut prosedur.”

Demikian kata-kata pelakon Aeril Zafrel mengenai proses pembinaan masjid diusahakan bersama isteri, aktres Wawa Zainal yang masih belum bermula.

Menyatakan hasrat untuk membina masjid di kampung Aeril yang terletak di Rengit, Johor sejak tiga tahun lalu, usaha itu masih tertangguh kerana prosedur yang rumit.

“Kami dah lama nak bina masjid. Tapi prosedur nak bina masjid di Johor berbeza dan agak rumit. Kami memang dah sedia dengan kos kewangan untuk pembinaan masjid itu.

“Sebenarnya, kami boleh sahaja nak teruskan tanpa ikut prosedur tetapi ia tidak akan mendapat ‘gelaran’ masjid. Mungkin ia akan menjadi surau,” kata Wawa.

Pasangan pelakon ini mula berhasrat untuk mendirikan masjid sejak Julai 2020 dan dana pembinaan bernilai jutaan ringgit adalah hasil keuntungan koleksi Muslim Bukhari yang dikeluarkan oleh Wawa Cosmetics.

Tambah Aeril, dia kesal pertemuan mereka dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rengit dari Barisan Nasional (BN), Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi dipolitikkan oleh sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab, baru-baru ini.

ARTIKEL BERKAITAN: “Memang Semua Benda Kau Nak Politikkan Ke?” – Aeril Zafrel Bengang Foto Bersama ADUN Disalah Erti

“Saya berjumpa dengan beliau kerana dia merupakan wakil untuk kawasan terbabit. Tak kisahlah parti mana yang menang pun di kawasan sana, kita kena berjumpa juga sebagai rasa hormat.

“Bila ia dipolitikkan, saya rasa tak perlu sebab kami bukan meminta bantuan duit mana-mana parti. Lainlah kalau kami jumpa mana-mana wakil rakyat dan meminta dana atau sumbangan, itu lain pula ceritanya.

“Proses pembinaan masjid semuanya belum bermula. Saya berharap selepas saya berjumpa dengan wakil rakyat itu, proses perjalanan membina masjid dipermudahkan.

“Saya kesal ia dipolitikkan tapi saya tak nak terlalu memikirkannya. Kalau kita terlalu ambil serius pun, ia tak akan habis. Apa yang saya boleh buat adalah jalan terus sahaja. Sekarang menanti proses kelulusan, jika ia dipermudahkan, Insya-Allah projek itu akan terus berjalan,” kata Aeril.

Aeril dan Wawa ditemui usai majlis pelancaran koleksi terbaharu Wawa Cosmetics, Wawa X Rozyana, Asmaradana – Lagenda Kembali di Rumah Tangsi, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurut Wawa, produk terbaharu itu merupakan projek kedua kolaborasi bersama pempengaruh TikTok, Rozyana Roslan yang mempunyai lebih 5.2 juta pengikut.

“Selepas produk pertama dilancarkan pada September 2022, permintaan pelanggan terlalu tinggi terhadap minyak wangi itu sehingga terjual lebih 600,000 unit. Kini, kami meneruskan kerjasama dan mengeluarkan saiz botol wangian lebih besar dalam kuantiti yang terhad.

“Alhamdulillah, sebelum majlis pelancaran diadakan, ia sudah habis terjual 40,000 unit. Wangian ini didatangkan dengan tiga jenis varian iaitu Seri Pagi, Syurga Malam dan Mengundang Cinta,” kata Wawa lagi.

Written by: Aqilah


Previous post