Imbas untuk muat turun aplikasi

Artikel

Aina Abdul Gementar! Konsert Solo Pertama Bakal Dihadiri Artis Terkemuka

today20 June 2022

Background

Penyanyi Aina Abdul luahkan rasa gementar menantikan konsert solo pertamanya di pentas berprestij, Istana Budaya yang akan berlangsung pada 25 dan 26 Jun ini.

Menurut Aina, dia tidak menyangka apabila konsert itu bakal dihadiri selebriti-selebriti terkenal tanah air sekaligus menambahkan lagi debaran untuk hari itu tiba.

“Alhamdulillah kurang dua minggu lagi saya bakal membuat persembahan di pentas yang cukup saya impikan selama ini. Ibarat mimpi jadi kenyataan apabila berpeluang mengadakan konsert solo di Istana Budaya.

“Namun apa yang membuatkan saya lebih teruja dan gementar adalah selain peminat yang sudah mendapatkan tiket menyaksikan konsert ini, pengurus saya memaklumkan ramai selebriti terkenal dan berpengalaman bakal menghadiri konsert ini.

“Antaranya ialah Ziana Zain, Anuar Zain, Ella, Datuk Nora, Nabil Ahmad, Datuk Hattan dan Hael Husaini serta ramai lagi sudah mengesahkan kehadiran mereka sekali gus memberi satu tekanan kepada saya yang masih baru mengadakan konsert ini untuk membuat persembahan di hadapan mereka,” katanya.

Namun, pelontar lagu Sepi itu berhasrat untuk menjadikan konsert itu momen termanis bersama peminat dan penonton yang hadir.

“Saya ingin mencipta momen manis bersama peminat di konsert ini. Saya mahu penonton yang hadir merasai dan terhibur dengan setiap lagu yang dipersembahkan.

“Konsert ini adalah untuk kita semua menghargai diri sendiri dan saya akan menghadiahkan segala anugerah yang Tuhan berikan,” jelasnya.

Selain itu, Aina turut memaklumkan dia sudah melakukan beberapa sesi latihan untuk konsert yang bakal diketuai oleh Pengarah Muzik, Mac Chew dan Jenny Chin itu.

“Alhamdulillah persiapan menuju konsert berjalan dengan baik. Saya sudah melakukan beberapa sesi latihan bersama Mac Chew dan pasukannya.

“Insya-Allah minggu depan saya akan mengadakan sesi latihan di Istana Budaya untuk mendapatkan ‘mood’ sebelum tarikh konsert,” katanya.

Dalam pada itu, Aina memaklumkan tiket konsert A Night With Aina Abdul 2.0 masih boleh didapati menerusi laman web www.ticket2u.com.my.

Sumber: Harian Metro

Written by: Salma


Previous post