Imbas untuk muat turun aplikasi

Artikel

Akibat Jangkitan Kuman Pada Paru-Paru, Bapa Syamel Dapat Rawatan Di ICU… Ernie Zakri Mohon Doa

today12 January 2023

Background

Penyanyi, Ernie Zakri memohon doa orang ramai berhubung kesembuhan bapa mentuanya, Mohd Fodzly yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) akibat jangkitan kuman pada paru-paru.

Ernie memaklumkan perkara demikian ketika selesai menjayakan This Is Ernie Showcase berlangsung di Nero Event Space, Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC), semalam.

Di kesempatan itu, Ernie meluahkan rasa terharu dan mengucapkan terima kasih kepada suami tercinta, Syamel, kerana tetap hadir memberikan sokongan meskipun hatinya berat mengenangkan keadaan bapa.

“Tuhan saja tahu perasaan hati saya untuk bekerja saat ini. Saya tak sangka suami saya sempat hadir sebab saya tahu dia menjaga ayah di hospital tetapi dapat meluangkan masa di sini.

“Walaupun keadaan sebegini, suami saya bergelut sama ada nak jenguk ayah ke atau tengok isteri menyanyi, tapi dia tetap datang.. Terima kasih sayang.

“Ayah mentua saya dijangkiti jangkitan kuman di paru-paru. Alhamdulillah, keadaannya ketika ini sudah stabil namun masih dirawat dan dijaga rapi di ICU.

“Saya minta jasa doa orang ramai untuk mendoakan kesembuhan ayah mentua saya kembali sihat seperti biasa,” katanya dalam nada sebak.

Sementara itu, Syamel menerusi perkongsian di Instagram turut memaklumkan mengenai kesihatan bapanya dan memohon doa ramai.

Antara momen sayu ketika This Is Ernie Showcase berlangsung adalah Ernie menangis ketika menyampaikan lagu Korban.

Sebelum mendendangkan lagu tersebut, Ernie sempat bercerita mengenai detik kehilangan dua insan tersayang ketika bercuti di luar negara bersama suami dan menitipkan pesanan kepada semua 200 peminat yang hadir untuk menghargai orang sekeliling.

“Mereka yang ada pasangan dan orang tersayang, keluarga atau kawan-kawan jangan malu untuk luahkan rasa sayang pada mereka sebab kita tak tahu, pada bila-bila masa sahaja tak akan jumpa lagi.

“Hargai mereka sepenuhnya selagi ada,” ujarnya.

Meskipun berskala kecil, kelunakan suara merdu Ernie menyampaikan lebih 10 lagu hits antaranya Boneka, Gundah, Korban, Misteri, Ku Bersuara, Ini Yang Ku Mahu, Jangan Marah dan single terbaru, Astana berjaya memukau semua peminat.

Antara rakan selebriti yang turut hadir memberi sokongan adalah Amelia Henderson, Ben Amir, Nabila Razali, Ara Johari, Wany Hasrita, Amira Othman, Sarah Suhairi dan Sissy Imann.

Written by: Aqilah