Imbas untuk muat turun aplikasi

Onz

Alina Hassan Tersenarai Top 100 Calpis Soda OIAM – “Ada Lagi Ke Nak Dengar Suara Mak Cik?”

today2 December 2024

Background

Penyanyi Alina Hassan, 57, mencuri perhatian selepas berjaya menjadi antara 100 peserta rancangan popular, Calpis Soda One In A Million (OIAM) 2024 yang diumumkan pada Isnin.

Mengaku terkejut ketika dimaklumkan mengenai kejayaannya menyertai OIAM pada edisi kali ini, Alina bagaimanapun bersyukur dek kerana nasib kini menyebelahinya.

Sekaligus berpendapat hadiah yang bakal dimenangi juara OIAM sangat lumayan.

“Gila tak terkejut? Masa dapat tahniah tu pun dah terkejut apatah lagi masa tu kita bawa lagu tradisional lepastu bawa lagu ‘Masing-Masing’.

“Of course lah, kalau dah sampai tahap 100, lepastu 30 ni jadi mestilah kita meletakkan harapan kalau terkeluar pun saya anggap itu adalah hikmah yang Allah nak tunjuk.

“Saya tak ada tujuan apa-apa selain mahu cabar kemampuan diri sendiri bahkan, hadiah yang bakal dimenangi juga cukup lumayan.

“Ada tak lagi orang nak dengar suara mak cik ni? Malah video sebelum ini pun viral. Komen-komen semua saya baca dan semuanya  doa yang diberikan saya aminkan,” ulasnya.

Alina berkata demikian usai sidang media bagi memperkenalkan 100n peserta OIAM bertempat di Jio Space, Petaling Jaya, Selangor pada Isnin.

Mengulas lanjut, sebagai seorang yang pernah bergelar Juara Sinaran Passport Kegemilangan pada tahun 1996, Alina mengaku tidak segan sekiranya dia bermula dari bawah.

Menurutnya, jujur menjadi diri sendiri dan melakukan perkara yang diyakini adalah penting untuk bertahan dalam industri.

“Tak segan pun nak mula dari bawah. Nak segan sebab apa? Nak tunjuk sebab pernah jadi juara? Baik tak payah. Just be yourself and jadi diri sendiri. Buat benda yang kita suka dan yakin boleh buat.

“Kita pernah jadi penyanyi dan orang kenal. Saya juga pernah kerja cleaning dan banyak lagi dan kita tak ada masalah sebab yakin ada rezeki saya jadi, saya jalan terus,” katanya.

Untuk rekod, OIAM kali ni menampilkan juri-juri hebat seperti Datuk Yusri Abd Halim, Zina Zain dan penyanyi popular Indonesia, Cakra Khan.

Manakala, hos  yang dipertanggungjawabkan untuk menggalas program ini adalah, Haniff Hamzah dan Fiza Frizzy.

Juara OIAM 2024 akan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM500,000, sebuah kereta Peugeot 408 GT dan kontrak rakaman yang kesemuanya berjumlah RM1 juta.

Program itu akan berlangsung menerusi siaran TV3 bermula 22 Disember ini sehingga 9 Februari 2025.

Untuk rekod, tiga edisi OIAM sebelum ini menobatkan Suki Low, Ayu Damit dan Tomok sebagai juara.

Written by: Salma


Previous post