Berita mengenai kematian ibu kepada penyanyi dan pelakon sensasi, Aliff Aziz iaitu Siti Hafiza Bashaharil yang tular di platform media sosial sejak Ahad mencuri perhatian ramai pihak.
Justeru, tidak mahu perkara tersebut terus menjadi spekulasi, Hafiza tampil membuka mulut dan memaklumkan dia masih hidup dan masih meneruskan kehidupan.
“Pada insan yang saya hormati yang hubungi saya sebentar tadi untuk memastikan berita ini sahih ataupun tidak.
“Alhamdulillah Allah masih memberi saya peluang untuk hidup sehari lagi,” ulasnya.
Menerusi perkongsian di ruangan Instagram miliknya, Hafiza berkongsi tangkap layar paparan skrin akaun YouTube tersebut yang tertera tajuk ‘Kematian ibu Aliff Aziz? Ramai doakan semoga Aliff Aziz tabah dengan dugaan menimpa’.

Dalam pada itu, Hafiza menerusi ruangan kapsyen berkata, dia tidak mahu menyimpan sebarang dendam terhadap individu yang melemparkan fitnah terhadapnya sekaligus mendoakan agar individu tersebut mendapat hidayah dan berubah kepada kebaikan.
Bagaimanapun, berdasarkan pemerhatian XTRA posting tersebut telahpun dipadam beberapa jam selepas ia dimuat naik.