Lebih sebulan dirawat di hospital Tawau sebelum dipindahkan ke Hospital Queen Elizabeth 2 (HQE2) di Kota Kinabalu, bapa kepada pelakon Lia Natalia dilaporkan menghembuskan nafas terakhirnya pada pagi tadi sekitar jam 9.50 pagi.
Memetik laporan Harian Metro, Allahyarham Abden, 69, meninggal dunia akibat sakit jantung di sisi anak-anak dan ahli keluarga terdekat.
Menurut Lia atau nama sebenarnya, Alia Afiqah Abden, arwah bapanya itu menderita penyakit jantung sejak November tahun lalu dan berulang alik ke hospital di Tawau untuk menerima rawatan.
“Arwah bapa sudah lebih sebulan dirawat dari hospital di Tawau dan kemudian dipindahkan ke HQE2.
“Jenazah bapa akan diterbangkan dengan MASKargo jam 6.25 petang dan dijangka sampai di Tawau jam 7.20 malam untuk dibawa ke masjid untuk solat jenazah,” katanya kepada pemberita.
Jelasnya, sebagai anak bongsu, dia sangat rapat dengan arwah bapanya sehingga sanggup menolak tawaan berlakon demi meluangkan waktu dan menjaga bapanya itu di hospital.
“Apapun, saya reda dan ikhlas dengan pemergian bapa kerana pengakhirannya sangat cantik kerana bapa pergi pada Jumaat dan 10 Ramadan terakhir,” katanya.
Jenazah arwah Abden dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Pasir Putih, Tawau, selepas solat Tarawih malam ini.
Terdahulu, Lia membuat perkongsian di Instagram Stories (IG) mengenai pemergian bapanya sekali gus mendapat perhatian dari pengikutnya.
“Alhamdulillah, makbul doaku. Bapa, orang yang baik pergi hari jumaat dalam bulan Ramadan. Bapa dah tak sakit,” tulisnya.
View this post on Instagram
Sumber: Harian Metro