Pelakon dan penyanyi Bella Astillah mengakui bahawa dia berasa segan untuk menghubungi pelakon lelaki terutamanya yang berstatus suami orang walaupun atas urusan kerja.
Bella menganggap tindakan menghubungi atau menghantar kiriman mesej kepada pelakon lelaki merupakan sesuatu perkara yang kurang manis.
Pelakon itu menyatakan bahawa dia sebolehnya akan mencari dan berhubung dengan isteri pelakon Zamarul Hisham, Diana Rafar untuk bertanyakan segala hal berkaitan kerja katanya ketika ditemui di sidang media drama Aku Tanpa Cintamu pada Selasa.
“Saya juga kalau ada apa-apa yang nak tanya atau pesan kepada abang Zamarul, pasti akan kirim mesej kepada isterinya, kak Diana kerana lebih selesa.
“Saya tak pernah ‘chat’ atau kirim mesej langsung dengan abang Zamarul,” jelasnya.
Menurut isteri kepada Aliff Aziz itu, dia merasakan tindakan sebegitu lebih profesional dan baik.
Bukan itu sahaja, Bella Astillah, 28 turut memaklumkan bahawa dia tidak memilih tawaran watak tetapi akan berbincang dahulu dengan suaminya dari pelbagai sudut.
Jelasnya, dia perlu berfikir dan meneliti dengan baik mengenai watak yang ditawarkan kerana dia masih dalam proses belajar serta ingin menjaga batas sebagai seorang isteri dan ibu.
“Saya memang tak memilih dari segi tawaran watak diberikan kerana masih dalam proses belajar. Tapi, asalkan watak itu tidak keterlaluan, okeylah. Sebabnya, anak-anak saya pun menonton televisyen dan tak mahu mereka tengok yang bukan-bukan.
“Saya tak cuba menunjuk diri baik. Cuma, saya kena fikirkan banyak pihak yang perlu dijaga terutama hati keluarga. Tapi, Aliff selalu ada membantu kerana dia juga sentiasa berada di set penggambaran menemani saya,” ujarnya.
Menerusi drama terbaharu, Aku Tanpa Cintamu di slot Samarinda TV3, Bella memegang watak heroin sebagai Nuha di mana dia seorang pelakon bercita-cita tinggi namun dikawal oleh suaminya, Adam, yang dilakonkan oleh Zamarul Hisham.
Drama ini turut diserikan oleh barisan pelakon seperti Datuk Seri Eizlan Yusof, Zarynn Min, Shah Iskandar, Mas Anizan dan ramai lagi.
Untuk info, drama Aku Tanpa Cintamu telah bersiaran di TV3 sejak 15 September dan mempunyai 15 episod.