Imbas untuk muat turun aplikasi

Artikel

Berlakon Di Samping Hattan, Ahirine Ahirudin Akui Risau!

today28 July 2022

Background

Pendatang baharu dalam dunia lakonan, Ahirine Ahirudin, 26, mengakui risau untuk bekerja dengan artis otai seperti Datuk Hattan.

Bergandingan dengan Hattan dalam filem Gadis Jolobu The Movie yang bakal ditayangkan pada 4 Ogos 2022, gadis yang pernah menjadi wartawan penyiaran dan pengacara ini membawakan watak Jijah.

Gadis Jolobu The Movie dihasilkan susulan kejayaan lagu duet Hattan bersama Waris, Gadis Jolobu yang meraih hampir 10 juta tontonan di YouTube.

β€œPada mulanya, saya risau untuk bekerja dengan artis otai seperti Hattan. Maklumlah, watak Jijah banyak dengan Atan (Hattan) termasuk babak romantik.

β€œBagaimanapun, selepas saya bawa Hattan naik motosikal pusing bendang dan ronda keliling kampung, perasaan risau hilang, malah sering ketawa dengan telatah lucunya.

β€œSaya juga tidak kekok bergandingan dengan Khir Rahmah dan Joey Daud kerana pernah menemubual mereka.

β€œMereka adalah pelakon profesional dan tahu apa yang perlu dilakukan di lokasi penggambaran. Begitu juga dengan pengarah, CL Hor.

β€œJijah adalah gadis yang bertugas sebagai pegawai tentera dan pulang ke kampung untuk menjaga neneknya.

β€œSaya tidak perlu bertutur dialek Negeri Sembilan pekat sangat kerana Jijah bekerja di bandar.

β€œSelain dibantu Hattan dan pelakon kelahiran Negeri Sembilan, ada guru lakonan memberi bimbingan dari segi dialek dan sebagainya,” katanya.

Menariknya, filem berteraskan dialek Malaysia itu memberi tumpuan pada budaya dan tradisi Minangkabau dari Negeri Sembilan.

Kata Ahirine lagi, filem Gadis Jolobu The Movie turut menyerlahkan sisi komedi dalam dirinya.

β€œSaya sebenarnya suka buat orang ketawa kerana tidak mahu berasa tekanan di lokasi. Khir dan Joey juga suka buat lawak. Jadi, saya memang ketawa dan terhibur dengan telatah mereka.

β€œUntuk babak aksi, saya mengalami sakit badan lebih seminggu ketika merealisasikan adegan pertarungan dengan penjahat.

β€œSelain dibantu koreografer aksi, saya memang ada asas dalam seni mempertahankan diri iaitu Muay Thai dan Krav Maga.

β€œMasih banyak aspek lakonan yang perlu diperbaiki terutama ekspresi muka. Ini kerana sebelum ini saya banyak berada di belakang tabir untuk babak aksi dan lagak ngeri dalam filem,” katanya lagi.

Selain Hattan, Ahirine, Joey dan Khir, filem terbitan syarikat hiburan terkemuka Asia Pasifik, Tremendous Entertainment dan Zebra Studios Sdn Bhd turut menampilkan anak Hattan, Adam E dan Nizam Laksamana.

Filem ini akan menemui penonton di pawagam GSC di seluruh negara bermula 4 Ogos depan. Malah, turut ditayangkan di platform Over-The-Top (OTT), Get PLAY yang akan diumumkan kemudian.

Written by: Salma


Previous post