Imbas untuk muat turun aplikasi

Artikel

“Bukan Nak Ubah, Tapi Nak Rawat” – PU Riz

today11 September 2024

Background

“Bercakap perihal spa, kita tak dapat nafikan, ada satu masa, mungkin ada yang fikir pelik-pelik. Tapi bagi kami pula, sejak awal buka bisnes dan berkolaborasi dengan doktor, niat bukan nak mengubah, tapi merawat. Alhamdulillah, bisnes dapat respons baik.”

Demikian ulasan pendakwah selebriti terkenal, Ustaz Haris Ismail atau PU Riz mengenai bisnes pusat estetik dijalankan yang semakin mendapat tempat di hati orang ramai.

Selepas membuka cawangan pertama di Ampang tahun lalu, Haris kini berjaya melangkah setapak dengan pembukaan cawangan kedua AiRiz Aesthetic Centre di Kota Bharu, Kelantan.

Bukan Ubah, Tapi Rawat

Menurut Haris yang berkolaborasi dengan pakar perubatan estetik, Dr. Aizul Hafizi, niat mereka masih sama iaitu mahu merawat dan meningkatkan keyakinan diri orang ramai.

“Kami memberi fokus yang mengikut saranan agama. Bukan mengubah tetapi merawat. Bukan kita nak gelapkan orang yang cerah atau mancungkan hidung yang kemek, tapi kami fokus untuk merawat, membersihkan dan menghias rupa paras yang sedia ada.

“Semua orang nak kelihatan elok dan pusat estetik ini merupakan inisiatif kami. Harga yang ditawarkan juga berpatutan, tak mahal dan tak murah sangat. Apa yang penting, masalah dapat diselesaikan,” katanya.

Pilih Kelantan Sebagai Cawangan Kedua

Cawangan kedua AiRiz Aesthetic Centre yang terletak di Jalan Atas Bonggol, Kota Bharu, Kelantan akan memberikan perkhidmatan estetik premium kepada lebih ramai pelanggan, selari dengan permintaan yang semakin meningkat terhadap rawatan kecantikan yang selamat, berkesan, dan patuh syariah.

“Kenapa di Kelantan? Saya tengok apa yang unik di Kelantan ini adalah kesungguhan orang ramai. Kalau macam dia nak buat satu benda itu memang ada keinginanlah. Kita tengok di sepanjang jalan-jalan di sini pun, berapa ramai orang Kelantan yang berniaga dan penerimaan pada perniagaan yang kecil-kecil itu mendapat sokongan baik. Saya rasa di Kelantan yang mana kalau ikut ‘survei’ dalam 10 hingga 15 kilometer radius dari sini kuranglah pusat estetik itu,” katanya.

Sementara itu, Dr. Aizul berkata, kerjasama dengan Haris ini bertujuan untuk memberi nilai tambah kepada perkhidmatan yang ditawarkan dengan menyuntik elemen pendidikan agama yang penting bagi masyarakat Muslim yang ingin menjaga penampilan tanpa mengabaikan nilai-nilai Islam.

“Kami berharap dapat terus memberikan perkhidmatan yang terbaik dan membantu lebih ramai individu mencapai kecantikan secara sihat dan mematuhi syariah. Kami menekankan dua aspek iaitu aspek kemahiran saya sebagai seorang doktor dan juga sijil saya dalam bidang estetik dan juga dibimbing juga dari segi patuh syariah daripada Haris sendiri,” kata Dr Aizul.

Pembukaan cawangan kedua AiRiz Aesthetic Centre disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim.

Menurut Dr Hafidzah, pembukaan AiRiz Aesthetic Centre yang diusahakan oleh usahawan muda dianggap sebagai satu bentuk perniagaan masa hadapan.

“Kedatangan usahawan muda, saya gelarkan mereka ini usahawan muda membuka satu bidang perniagaan yang disebutkan adalah satu perniagaan masa hadapan kerana mereka berani yang pertama dan mahu mengambil peluang yang begitu besar.

“Itulah yang kita harapkan kerana dalam bidang estetik ini saya rasa kalau niatnya betul dan caranya betul kita memang boleh pergi ke depan kerana saya rasa apa yang kita mahu dalam apa-apa bisnes pun kalau dia mahu berdaya maju dan Insya-Allah panjang nilai itu.

“Pembukaan pusat estetik ini di sini juga selarilah dengan niat kita untuk menjadikan perniagaan di Kota Lama ni sebuah perniagaan yang membahagiakan orang yang berdaya saing kompetitif,” katanya lagi.

Written by: Salma


Previous post