Imbas untuk muat turun aplikasi

Artikel

Da’i Syed Kini Bebas Pertuduhan Jenayah Seksual

today31 May 2022

Background

Pendakwah selebriti, Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful atau Da’i Syed dilepas dan dibebaskan (DNA) oleh Mahkamah Sesyen atas dua pertuduhan melibatkan kes bersetubuh secara luar tabii serta mencabul seorang penuntut kolej swasta berusia 22 tahun, dua tahun lalu.

Hakim Jamaludin Mat memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk melepas dan membebaskan Syed Shah Iqmal, 27, daripada kedua-dua pertuduhan itu.

“Saya bersetuju dengan hujahan peguam supaya kes ini dilepas dan dibebaskan. Oleh itu, tertuduh dilepas dan dibebaskan mengikut Seksyen 254 (3) Kanun Tatacara Jenayah bagi kedua-dua kes dan wang jaminan (RM25,000) dikembalikan,” katanya.

Pada 10 Disember 2020, Da’i Syed, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas satu pertuduhan melakukan persetubuhan luar tabii terhadap wanita berumur 22 tahun, di rumah sewa tertuduh di Damansara Perdana, Petaling Jaya antara jam 3 hingga 4 pagi pada 17 Oktober 2020.

Dia didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.

Manakala, bagi kes menggunakan kekerasan jenayah, pertuduhan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

 

Sumber/kredit foto: Harian Metro

Written by: Salma