Imbas untuk muat turun aplikasi

Artikel

Dapat Ilham Ketika Mandi Sambil Menangis, Farahdhiya Buat Lagu Untuk Arwah Bapa

today28 July 2022

Background

Selebriti jelita, Farahdhiya, 38, bakal tampil dengan lagu baharu yang dicipta dan didedikasikan khas buat bapanya, Allahyarham Mohd Amin Zubir yang meninggal dunia dua tahun lepas.

Menerusi lagu berjudul Tak Terganti itu, penyanyi yang mesra disapa dengan nama Farah ini mendapat inspirasi untuk menghasilkan melodi lagu ini ketika dia sedang mandi.

β€œSaya tak pernah ada perancangan pun sebenarnya nak buat lagu ini. Ia datang sendiri ketika saya menjalani penggambaran. Sewaktu itu, saya di bilik hotel.

β€œKetika saya sedang mandi, saya teringat dengan bapa saya dan secara tiba-tiba datang melodi bermain di fikiran. Ketika itu saya mandi sambil menangis. Selesai sahaja mandi, saya terus rakam melodi yang bermain di fikiran dan siapkan lirik hingga terhasil lagu Tak Terganti,” katanya.

Tambah Farah, dia masih terkesan dengan pemergian bapanya walaupun sudah dua tahun masa berlalu.

β€œSejujurnya, walaupun dah dua tahun bapa meninggalkan saya, saya masih rasa sedih. Karya ini dekat di hati saya kerana ia menjadi luahan perasaan saya terhadap arwah. Dia bapa saya, kawan baik saya, sahabat saya.

β€œSaya akui sukar nak rakam lagu ini, sebab perasaan sedih itu tapi saya kena kuatkan hati dan mengawalnya.

β€œMacam mana agaknya nanti jika saya ditugaskan untuk menyanyikan lagu ini secara β€˜live’. Ketika itu, pastinya saya harus lebih kuat untuk mengawal emosi dan perasaan,” katanya lagi.

Farahdhiya ditemui pada sesi temubual virtual untuk mempromosikan drama Selamanya Suri Cinta yang bersiaran di TV9 pada Selasa.

Selain Farahdhiya, drama Selamanya Suri Cinta nukilan skrip oleh Azilah Wahab, Ramlah Rashid, Hasnita Hamidi dan Haslizawaty Hassan ini menampilkan pelakon lain seperti Siti Nordiana, Sham Visa dan Fahrin Ahmad.

β€œNaskhah 20 episod terbitan Suhan Movies ini menyaksikan saya membawa watak Maisarah dan ia diarahkan oleh Zamri Zakaria.

β€œDalam drama ini Maisarah adalah kawan baik kepada Wanda lakonan Siti Nordiana yang mana kami berkawan dari zaman kolej, menjadi dewasa dan selepas kahwin pun masih berkawan baik. Kami juga saling berkongsi masalah rumah tangga.

β€œTimbul isu salah faham dalam persahabatan mereka apabila Maisarah mula kerja dengan suami Wanda.

β€œSaya menerima tawaran berlakon dalam drama ini pertama, sebab saya sudah lama tidak berlakon dengan Suhan Movies. Kedua, apabila membaca skrip, jalan cerita menarik. Drama ini sepatutnya menjalani penggambaran tahun lepas, tapi ditunda,” katanya.

Drama ini sudah mula bersiaran pada 15 Julai lalu, ditayangkan setiap Khamis dan Jumaat, jam 9.30 malam di TV9.

Written by: Salma


Previous post