Pelakon Zara Zya berkata, dia memiliki masalah sukar mengingati lirik lagu, sehingga sanggup menolak tawaran menyanyi di hadapan penonton kerana tidak mahu ‘miming’ dan memalukan diri sendiri.
“Ada banyak tawaran menyanyi, tapi saya tolak sebab memang tak boleh nak buat. Saya bukan penghibur yang boleh ajak orang nyanyi bersama. Berbeza kalau berlakon teater, kita tak tengok orang.
“Lagi satu, saya ada masalah untuk ingat lirik. Bayangkan kalau ada dua tiga lagu yang perlu dinyanyikan, apa akan terjadi? Daripada saya malukan diri, baik tak payah buat.”
Katanya lagi kepada Harian Metro,
“Saya pernah sekali menyanyi di sebuah acara di Singapura, ketika itu ‘miming’. Akhirnya ‘kantoi’ sebab muzik dan pergerakan bibir tak sama. Walaupun penonton tak fikir apa-apa, tapi boleh nampak reaksi wajah mereka yang saya ‘miming’. Saya yang jadi janggal.”
Zara yang sebelum ini muncul menerusi single Tiada Dendam berkata, dia juga menolak tawaran daripada pihak Muzik Muzik bagi mencalonkan lagu itu.
“Diakui, saya menyanyi sekadar suka-suka dan bukan nak menjadi penyanyi profesional. Suara saya asas saja dan tidaklah sedap mana pun.”
Sumber : Harian Metro
Post comments (0)