Imbas untuk muat turun aplikasi

Artikel

DDNK Mengaku Kini Lebih Kerap Ke Masjid – “Bila Kahwin Dengan Orang Muda, Saya Pun Rasa Lebih Muda”

today16 January 2023

Background

Pernah terpalit dengan konflik rumah tangga sebelum ini, pakar pelaburan saham, Datuk Dr Mohd Nazri Khan (DDNK) mengakui lebih kerap berkunjung ke masjid berbanding semasa perkahwinan pertamanya dahulu.

Menurutnya, dia kini bukan sahaja sering berkunjung ke masjid, malah kerap menghadiri kuliah agama sekaligus berasa pelik kerana perasaan itu tidak pernah wujud ketika perkahwinan pertamanya.

“Bila saya kahwin dengan yang muda saya pun berasa lebih muda. Kalau dulu saya jarang pergi masjid, sekarang sudah selalu, malah dulu pun saya jarang pergi kuliah agama tetapi kini semakin kerap.

“Saya tidak mahu salahkan isteri pertama, cuma perjalanan hidup saya seperti itu dan saya belajar daripada perceraian yang berlaku,” katanya.

Sementara itu, DDNK memaklumkan, isteri keduanya, Datin Tuan Nor Ernie Rossmerie Tuan Zahari adalah individu yang banyak membantunya dalam mencari matlamat hidup supaya berjaya di dunia dan di akhirat, malah menyifatkan kedua-dua perkahwinannya itu memiliki kelebihan masing-masing.

“Kalau isteri yang dulu lebih berusia, dia lebih matang, terbuka, bersikap keibuan dan faham kehidupan. Tapi, itu adalah pilihan kita. Keduanya hebat dan perlu tahu apa matlamat hidup. Kita perlukan isteri yang boleh sokong matlamat kita.

“Saya rasa refleksi dan peluang kedua saya dalam kehidupan. Walaupun isteri kedua saya ini muda, tapi dia membantu saya menghampiri matlamat hidup iaitu berjaya di dunia dan akhirat. Alhamdulillah, hidup saya lebih tenang dan tidak banyak pening kepala dari segi kerja.

“Pengalaman hidup dengan isteri pertama dan kedua, masing-masing ada kelebihan. Untuk isteri kedua yang lebih muda ini dia lebih manja, lebih fleksibel, dengar cakap dan tak banyak kerenah. Mungkin rasa hormatnya ada di situ. Tapi, dia juga lebih nakal, kuat cemburu dan kuat merajuk,” jelasnya.

Memetik laporan Harian Metro, DDNK berkata, dia sama sekali tidak bersetuju dengan gelaran ‘penyondol’  diberikan kepada isteri kedua, ketiga dan keempat. Ini kerana, isterinya juga turut menerima tempias yang sama.

Baginya, cukuplah urusan jodoh, ajal dan maut itu adalah ketentuan Tuhan.

“Kita semua perlu faham ini adalah jodoh dan kuasa Allah. Mungkin orang tidak boleh terima tapi itulah hakikatnya. Saya tidak setuju dengan istilah sondol menyondol ini.

“Malah, saya tidak bersetuju ‘penyondol’ dalam istilah isteri kedua. Bagi saya ia tidak boleh berlaku sebelah tangan. Tidak boleh rempuh atau santau untuk terus berkahwin. Ia mesti bertepuk dua belah tangan.

“Bila sebut berkenaan cinta dan sayang, ia adalah perkara yang kita tiada daya untuk menahan. Bila sudah sayang, kita tidak boleh menipu perasaan. Bila kita kata sayang, maksudnya kita memang sayang. Bagi saya, tidak boleh seorang saja yang sayang untuk terus kahwin.

“Jadi, sondol menyondol ini tidak betul. Kalau daripada konteks saudara Syamsul (Syamsul Yusof) atau sesiapa saja, apa yang penting adalah kalau boleh berbahagia dengan yang pertama atau kedua (isteri) itu yang terbaik.

“Saya tiada pengalaman sebegitu, isteri saya yang kedua memang sangat baik,” ujarnya.

 

Sumber: Harian Metro

Written by: Aqilah


Previous post