Imbas untuk muat turun aplikasi

Yang Hangat

Doktor Pakar Audiologi Kini Bergelar Penerbit Filem, ‘6 Jilake’ Buah Tangan Pertama Dr. Shasa Aziz

today16 March 2025

Background

Dari pakar audiologi kepada penerbit filem, Dr. Shasa Aziz atau nama senenarnya, Dr. Nur Shasa’ Ain Tan Sri Abdul Aziz terus mencabar batasan dirinya.

Selepas satu dekad memperjuangkan kesedaran kesihatan pendengaran melalui Eartistic Hearing & Balance Centre, Dr. Shasa kini melangkah ke dunia perfileman dengan filem aksi komedi 6 Jilake di bawah syarikat baharunya, Eartistic Entertainment.

“Sepuluh tahun lalu, saya bermula dengan satu visi iaitu untuk mendidik masyarakat mengenai pentingnya pendengaran dan keseimbangan.

“Kini, saya memilih filem sebagai wadah baharu kerana saya percaya seni mampu memberi kesan lebih mendalam,” ujarnya yang menggabungkan kepakaran audiologi dengan elemen hiburan untuk menjangkau lebih ramai audiens.

DEKAD CABARAN: DARI HAMPIR TUMBANG KEPADA KEBANGKITAN

Perjalanan Eartistic bukanlah tanpa rintangan. Pandemik COVID-19 hampir meranapkan segala usaha apabila tujuh cawangan terpaksa ditutup, memaksa Dr. Shasa dan pasukannya membina semula dari bawah.

“Itu adalah fasa paling mencabar dalam hidup saya. Namun, saya tidak boleh menyerah. Saya bangkit dengan strategi baharu.

“Saya bangun semula, memperkukuh perkhidmatan dan makmal alat pendengaran kami, serta terus memperjuangkan kepentingan kesedaran pendengaran melalui program bersama NGO dan agensi kerajaan,” katanya.

Kini, Eartistic Hearing berkembang pesat dengan tujuh cawangan di seluruh Semenanjung Malaysia dan perancangan untuk membuka lebih banyak pusat rawatan serta memperluaskan perkhidmatan fisioterapi vertigo.

BAKAL GEMPARKAN INDUSTRI PERFILEMAN DENGAN 6 JILAKE

Dari dunia perubatan, Dr. Shasa kini membawa revolusi dalam industri kreatif menerusi Eartistic Entertainment.

Selepas kejayaan siri animasi Kembara Utan yang mempromosikan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) melalui hiburan, Dr. Shasa kini mempertaruhkan 6 Jilake, sebuah filem aksi komedi yang bakal menggegarkan pawagam pada 24 April 2025.

“Filem ini lebih daripada sekadar hiburan. Ia adalah satu penghormatan kepada budaya dan sejarah Malaysia, dengan sentuhan moden yang mampu menarik perhatian generasi baharu.

“Saya mahu membawa cerita yang mampu mengubah perspektif dan menyatukan masyarakat,” katanya.

Selain filem, Eartistic Entertainment juga merancang untuk membangunkan jenama Kembara Utan ke peringkat global, menghasilkan muzik dan karakter animasi baharu yang dapat memberi impak kepada generasi muda.

MISI BESAR: KESIHATAN, PENDIDIKAN & HIBURAN

Dengan kombinasi perubatan, pendidikan dan hiburan, Dr. Shasa terus meneroka sempadan baharu, membuktikan kepada orang ramai tiada batasan dalam membawa perubahan kepada masyarakat.

“Ini bukan sekadar perniagaan, ini adalah perjuangan. Saya mahu setiap individu sedar mendengar itu nikmat dan seni adalah medium terbaik untuk menyampaikan mesej yang besar.

“Dengan Eartistic, saya akan terus melangkah ke hadapan untuk memberi impak yang lebih besar,” katanya.

Filem 6 Jilake yang mendapat sentuhan pengarah prolifik tersohor, Aziz M Osman bakal ditayangkan di lebih 100 pawagam tempatan pada 24 April 2025.

Bakal menjanjikan pengalaman baharu buat penonton, filem 6 Jilake dirumus dengan pelbagai kisah menarik yang mengambil inspirasi filem 6 Jahanam arahan Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee.

6 Jilake menampilkan lakonan bintang berbakat seperti Amerul Affendi, Bell Ngasri, Saiful Apek, Kazar Saisi, Asmidar, Kamarool Yusof, Laura Olivia, Wan Gegau, Wan Raja, Mamak Puteh, Jalil Hamid dan ramai lagi.

Filem 6 Jilake yang menelan belanja sebanyak RM2.8 juta menerima peruntukan Dana Kandungan Digital (DKD) daripada Kementerian Komunikasi dan Finas.

Kredit foto: Harian Metro

Written by: Salma


Previous post