Bekas suami kepada pelakon popular, Erra Fazira iaitu Engku Emran meluahkan rasa syukur apabila anak tunggal mereka, Engku Aleesya berjaya meraih keputusan cemerlang dalam peperiksaan International General Certificate of Secondary Education (IGCSE).

Menerusi perkongsian di Instagram, Emran, 50, berkata, pengorbanan selama 11 tahun ini berbaloi apabila anaknya itu berjaya mendapat keputusan 7A dalam peperiksaan tersebut sekaligus menganggap ia adalah momen paling manis untuknya.
“Ini adalah hantaran penghargaan untuk satu-satunya anak tunggal, Aleesya.
“Terima kasih kerana membuat hati ayah dipenuhi dengan rasa bangga dan gembira yang tak terhingga. Selama 11 tahun tempoh persekolahanmu, ayah telah mendedikasikan sebahagian besar hidup ayah untuk memastikan kamu cemerlang dalam pelajaran.
“Ayah tidak pernah terlepas walau satu acara sekolah yang kamu sertai, ayah hadir di setiap sesi pertemuan ibu bapa dengan guru, ayah bersorak setiap kali kamu berlari dalam acara sukan, semuanya atas nama kasih sayang dan tanggungjawab seorang ayah.
“Malam-malam panjang kita belajar bersama untuk ulang kaji, waktu berjam-jam kita habiskan dalam kesesakan jalan raya untuk pergi dan pulang dari kelas tambahanmu, semua itu juga dilakukan atas nama kasih sayang dan tanggungjawab sebagai seorang ayah.
“Hari ini, kamu telah membuktikan dan membayar segala usaha itu dengan kejayaanmu. Membuktikan pada ayah bahawa segala pengorbanan selama ini tidak sia-sia. Terima kasih Aleesya, terima kasih kerana menjadikan hari ini antara hari paling bermakna dalam hidup ayah.
“Tahniah atas pencapaian 7A, anak ayah! Alhamdulillah. Kekal rendah diri, kekal berpijak di bumi nyata,” katanya.
View this post on Instagram