Pelakon, penyanyi dan usahawan, Nur Fazura tampil menegur tindakan segelintir warganet yang melabel peminat-peminatnya sebagai ‘a charming delusion’.
Menerusi perkongsian di Threads, individu tersebut meninggalkan komen bahawa kedua beranak itu berada dalam keadaan baik-baik sahaja, namun tidak bagi peminat aktres berkenaan.
Sedar dengan respons yang ditinggalkan, Fazura akhirnya membalas hantaran tersebut apabila mempersoalkan tindakan individu tersebut yang sesuka hati melabel peminatnya sebagai ‘delusion’.
“Fans mak Fatima tak okay? Delusion?.
“Adakah anda sudah membuat kajian yang betul berdasarkan 10 bulan terakhir ini?.” soalnya.

Tidak terhenti di situ, individu yang dikenali sebagai florett.werss bagaimanapun menjelaskan, itu hanyalah sekadar pendapatnya sahaja berhubung isu percutian Fatima ke Disneyland baru-baru ini.
Namun, Fazura dilihat kekal dengan pendiriannya untuk mempertahankan peminat-peminatnya.
“Bagaimana pula dengan isu Disneyland yang kononnya membuat peminat Mak Fatima begitu “terkesan”? Saya akan berasa gembira jika anda dapat luangkan sedikit masa “lapang” anda untuk melihat dengan jelas betapa mereka sangat mengutamakan kebahagiaan Fatima!
“Mereka telah menyayangi, mempertahankan serta memberi sokongan dan suara kepada anak saya selama berbulan-bulan.
“Jangan risau, peminat Mak Fatima langsung tidak peduli soal pergi ke Hong Kong kerana mereka ada perkara lebih baik untuk dilakukan di Malaysia, seperti menjaga hal masing-masing dan tidak seperti sesetengah orang,” jelasnya.

Menjengah ke ruangan balas, rata-rata peminat Fazura menyokong tindakan selebriti kesayangan mereka itu sekaligus berterima kasih kerana sanggup mempertahankan mereka dari disindir atau diberikan gelaran jelik.



