Selepas kemelut rumah tangga berakhir, Diana Danielle dan Farid Kamil akhirnya sepakat mengenai hak penjagaan dua anaknya iaitu, Muhammad dan Nur Aurora.
Menurut Farid usai prosiding kes cerainya sebentar tadi, dia menyerahkan hak jagaan sepenuhnya kedua anak-anaknya kepada Diana.
Ini kerana, tidak wujud sebarang masalah ketika anak-anaknya itu berada dibawah jagaan bekas isterinya.
“Berkaitan anak-anak tiada masalah, seperti yang kita persetujui bahawa pihak Diana akan menjaga anak-anak dan alhamdulillah sampai sekarang tiada apa-apa masalah yang timbul. Dan saya harap perkara ini terus berkekalan, insyaa-Allah,” ulasnya.
Manakala, bagi Diana atau nama penuhnya, Diana Danielle Danny Beeson berkata, hak penjagaan anak-anak akan diberikan sama rata.
“Walaupun kami sudah berpisah, tapi saya tak rela jaga anak-anak sendiri.
“Jadi saya pun tak ada planning untuk simpan anak-anak untuk diri sendiri dan untuk menyusahkan pihak bekas suami sebab bagi saya anak-anak perlukan ibu dan ayah jadi kami cuba mudahkan untuk mereka.
“Keadaan dah sukar, jadi kita jangan sukarkan lagi keadaan untuk mereka.
“Dan alhamdulillah setakat ini, mereka pun tak ada menunjukkan apa-apa keadaan yang membimbangkan sebab tak ada sekatan dari talian dan perjumpaan.
“Jadi bila-bila masa sahaja, mereka boleh berjumpa jadi semoga hubungan lebih erat selepas ini.
“Sebelum ni kami berbincang melalui peguam kerana bagi saya bila keadaan tegang bila kita cuba mencapai sesuatu yang mungkin sebelah pihak tidak bersetuju dan sebelah pihak lagi bersetuju.
“Jadi saya tidak mahu mengeluarkan apa-apa perkataan atau perkara-perkara yang tidak sepatutnya kepada pasangan pada waktu itu.
“Jadi bila sekarang dah okay, kita akan cuba perbaikilah hubungan itu,” katanya.
Terdahulu, ikatan perkahwinan yang dibina selama 13 tahun akhirnya terlerai selepas Farid dan Diana Danielle sah bercerai talak satu buat kali kedua di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur pada Isnin.