Imbas untuk muat turun aplikasi

Artikel

Filem Anwar: The Untold Story Disabotaj? Ini Luahan Penerbit

today22 May 2023

Background

Produksi filem Anwar: The Untold Story kecewa dengan sesetengah pawagam enggan memberi sokongan terhadap tayangan naskhah biopik yang memaparkan kisah jatuh bangun perjuangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Walaupun mencipta sejarah menjadi filem biopik pertama mencatat kutipan RM1 juta pada hari pertama tayangan, Khamis lalu, namun jumlah kutipan tidak memenuhi sasaran apabila filem terbitan Yusrych Global Sdn Bhd dan edaran oleh DMY Creation seperti β€˜disabotaj’ oleh pihak pawagam.

Meluahkan kekecewaan terhadap apa yang berlaku, Pengerusi DMY Creation, Datuk Mohamed Yusoff berkata, ada pawagam enggan bekerjasama dengan memberi lebih slot tayangan untuk filem arahan pengarah Indonesia, Viva Westi itu.

β€œSaya kesal filem Anwar: The Untold Story disabotaj oleh pihak pawagam.

β€œLebih mengecewakan ada pawagam menyediakan 40 slot tayangan untuk filem antarabangsa, namun hanya memberikan empat slot untuk naskhah yang mengangkat kisah perjuangan dan pengorbanan Perdana Menteri menentang amalan rasuah ini.

β€œIa adalah tindakan tidak adil, sedangkan filem Anwar: The Untold Story ini sedang mendapat perhatian ramai, apatah lagi, ia mengenai kisah Perdana Menteri,” katanya.

Mohamed Yusoff berkata, pasukan produksi membuat tinjauan setiap hari untuk mengetahui respon penonton.

β€œRamai penonton membuat aduan tidak dapat menonton di beberapa pawagam berikutan tiada slot tayangan.

β€œJadi, kami bertindak membuat aduan kepada pihak pawagam, namun keadaan masih sama pada hari ketiga tayangan, semalam.

β€œJusteru, kami tidak boleh mendiamkan diri dan memilih untuk bersuara,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.

Katanya, tindakan pawagam tidak memberikan sokongan terhadap filem tempatan memberi impak buruk terhadap pembangunan industri perfileman.

β€œIni juga satu tindakan yang tidak adil buat pembikin karya tempatan.

β€œKami menghasilkan karya dengan bajet tinggi, namun bagaimana industri perfileman tempatan mampu bergerak ke hadapan sekiranya pihak pawagam bertindak mensabotaj terhadap karya tempatan.

β€œIndustri perfileman tempatan tentunya akan berada di takuk lama dengan tindakan tidak bertanggungjawab sebegini,” ujarnya.

Mohamed Yusoff berkata, pihak berkenaan juga perlu tahu penting membezakan politik dan hiburan.

β€œKalau kita sendiri enggan memberikan sokongan terhadap karya tempatan, siapa lagi boleh membantu?

β€œTimbul juga persoalan apa yang menjadi penghalang pihak pawagam menyediakan lebih banyak slot tayangan dan siapa perlu bertanggungjawab?

β€œSaya berharap Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dapat memantau perkara ini agar layanan karya tempatan dan antarabangsa diberikan sama rata,” ujarnya.

Anwar: The Untold Story dibintangi Farid Kamil yang memegang watak Anwar, manakala aktres popular Indonesia, Acha Septriasa membawa watak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail selaku teraju utama.

Selain itu, filem berdurasi berlatarkan tempoh antara 1993 dan 1998 ketika memegang jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan berdurasi 108 minit turut dibintangi oleh Hasnul Rahmat, Firdaus Karim, Saskia Chadwick, Piet Pagau dan Dewi Irawan.

Ia menemui penonton di 124 pawagam seluruh Malaysia sejak Khamis lalu.

Written by: Salma