
Bank Rakyat memberi jaminan data peribadi, maklumat perbankan serta simpanan pelanggan kekal selamat dan tidak terjejas susulan gangguan akses laman web korporatnya.
Bank itu dalam kenyataan, berkata gangguan berkenaan hanya menjejaskan laman web korporatnya dan berpunca daripada masalah teknikal pada sistem penyedia perkhidmatan pihak ketiga.
“Sistem serta operasi perbankan Bank Rakyat terus beroperasi seperti biasa,” katanya.
Sementara usaha pemulihan dilaksanakan, pelanggan boleh meneruskan urusan perbankan melalui laman web iRakyat di irakyat.com.my, aplikasi mudah alih iRakyat, BRICK, QR2E dan i-bizRAKYAT.
Bank Rakyat turut memohon maaf atas kesulitan dialami pelanggan dan memaklumkan perkembangan lanjut mengenai gangguan itu akan diumumkan dari semasa ke semasa.