Memohon agar ibu mentuanya, Siti Hafizah Sheikh Mohanad berhenti memerli, pelakon dan penyanyi, Bella Astillah sudah malas untuk bercerita panjang mengenai isu sama.
Mahu menjalani kehidupan yang baik bersama anak-anak dan keluarga, Bella mendedahkan hatinya terluka selepas tular tangkap layar pesanan WhatsApp antara bekas suami, penyanyi Aliff Aziz dan bekas rakan baiknya, pelakon Ruhainies yang merancang untuk menjatuhkan, menyebar aib dan mengutuk dirinya.
“Pada kali pertama saya ke mahkamah atas urusan perceraian saya ada mengeluarkan kenyataan bahawa tiada masalah untuk
Aliff berjumpa anak-anak, tapi itu SEBELUM saya dapat tahu Aliff Aziz (AA) dan Ruhainies (R) merancang untuk menjatuhkan saya, mengutuk saya dan menyebarkan aib saya.
“Ingat saya ini tak ada perasaan? Bila saya baca semua perbualan mereka betapa hancurnya hati saya kerana ini adalah plot twist terbesar dalam hidup saya. Orang yang saya percaya, tahu luar dalam dan yang saya sayang selama 12 tahun dengan sekelip mata menjadi musuh dan menghina saya,” tulisnya.


Lebih mengecewakan, Bella, 30, mendakwa Hafiza membuangnya daripada ‘group’ WhatsApp tanpa mendengar penjelasan dan tanpa bertanyakan khabarnya dan anak-anak termasuklah tidak mengikutinya di laman sosial Instagram.
“Kepada mak mertua saya, semasa kamu semua buang saya dari group WhatsApp keluarga begitu sahaja tanpa dengar penjelasan saya, bluetick saya, tanpa tanya khabar saya dan anak-anak, siap ‘unfollow’ saya.
“Selepas itu kamu boleh pula ‘follow’ perempuan yang sudah menjadi punca cucu kamu kehilangan bapa?
“Di manakah akal fikiran dan sifat keperimanusiaan kamu? Saya bersabar setiap hari. Kamu sindir saya setiap hari walaupun kamu cakap itu adalah posting general tapi rakyat Malaysia cukup bijak even mereka sendiri tahu itu semua untuk saya. Saya telan semuanya.
“Sehingga hari ini tiada kata maaf daripada anda sekeluarga, perli saya dengan membuat video-video sarkastik melalui media sosial tentang kereta dan sebagainya,” jelasnya.


Terdahulu, Bella tampil memberikan penjelasan selepas Hafiza memuat naik hantaran berupa ceramah dari pendakwah popular, Ustaz Azhar Idrus mengenai hukum melarang anak berjumpa ayah atau ibu selepas bercerai menerusi ruangan Instagram Stories miliknya.
Justeru, enggan dirinya terus diremehkan dengan hantaran sarkastik mentuanya, pelakon drama Leha, Leya Lawa ini memohon agar dia dan anak-anak diberikan ruang untuk merawat hati yang terluka.
Untuk rekod, Bella dan Aliff mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016 dan hasil perkahwinan, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu, Ayden Adrean, 6, dan Ara Adreanna, 3.
Bagaimanapun, kontroversi rumah tangga pasangan ini hangat diperkatakan apabila Aliff Aziz ditangkap khalwat bersama pelakon Ruhainies di sebuah kondominium mewah pada 9 Mac lalu.
Aliff dan Bella kemudiannya sah bercerai di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur pada 13 Jun lalu.