Selama bertahun-tahun menjual patung comel di hadapan sebuah bank di Damansara Utama, Uncle David yang dikenali sebagai Uncle Pokémon ini disahkan meninggal dunia pada 4 Oktober lalu yang disahkan oleh anaknya, Rafeal Fika Phillips baru-baru ini.
Uncle David sebelum ini dikenali ramai kerana pernah tular semasa puncak kegilaan Pokémon Go pada tahun 2016, ramai individu dari seluruh Lembah Klang akan datang jauh semata-mata untuk membeli patung comel dari uncle ini yang hanya menjualnya dengan harga RM10 setiap satu.

Anak Uncle David, Rafeal mengesahkan bahawa ayahnya meninggal dunia kerana menghidapi diabetes dan kegagalan jantung. Rafeal turut berkongsi bahawa ayahnya sudah mulai sakit dan kerap dimasukkan ke hospital sejak tahun lalu.
“Dia menghidap diabetes dan jantungnya gagal. Momen terakhir adalah ketika dia berada di rumah pada hari Khamis dan kami mendapati dia tidak bertindak balas ketika dipanggil. Kami memanggil ambulans untuk menjemputnya,”
“Setelah diperiksa, hospital memberitahu bahawa dia mengalami jangkitan paru-paru. Sebelumnya, dia sudah didiagnosis dengan jangkitan tetapi mereka mengatakan bahawa ia tidak serius dan telah sembuh.”
“Tetapi kemudian ternyata jangkitan itu sangat teruk dan kerana itu, paru-paru dan ginjalnya gagal.” katanya.

Keluarga Uncle David juga menyatakan bahawa mereka ditawarkan pertolongan daripada ramai orang tetapi menolaknya kerana mereka tidak mahu berharap bantuan.
“Orang-orang telah menghampiri saya dan menawarkan pertolongan ketika dia mula menerima rawatan di hospital, tetapi sejujurnya saya tidak ingin meminta pertolongan orang.”
Dalam catatan di Facebook, Rafeal mendedahkan bahawa upacara pengkebumian ayahnya akan diadakan pada hari Rabu, 7 Oktober, di Krematorium dan Tanah Perkuburan Kristian Dewan Bandaraya Cheras Kuala Lumpur (DBKL).
Post comments (0)