Negara kita ketika ini sedang dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk 7 buah negeri, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di 5 buah negeri, serta Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan pula dijalankan di 2 buah negeri.
Perintah ini diumumkan pada 11 Januari 2021 oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mana pelaksanaannya pula untuk tempoh 2 minggu bermula 13 Januari 2021.
Arahan tersebut dikeluarkan kerana peningkatan kes baharu harian tinggi dengan empat angka direkodkan sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
Pada 18 Januari 2021, Perdana Menteri telah membuat satu pengumuman khas pakej bantuan Perlindungan Ekonomi & Rakyat Malaysia (PERMAI).
Antara yang menjadi perhatian adalah matlamat pertama PERMAI iaitu Memerangi Wabak COVID-19, yang mana mengenai perancangan program vaksinasi.
Tan Sri Muhyiddin Yassin memberitahu, perancangan tersebut adalah on-track.
Ia dengan langkah kerajaan menandatangani perjanjian bersama syarikat pengeluar vaksin yang akan membekalkan vaksin fasa pertama pada penghujung bulan Februari 2021.
Dengan penerimaan itu, kumpulan pertama penerima vaksin dijangka mendapat suntikan seawal Mac ini.
Beliau juga memberitahu, vaksin yang diterima dapat digunakan untuk hampir 27 juta penduduk Malaysia menjelang suku pertama 2022.
Ini adalah berita baik buat rakyat Malaysia yang sememangnya menantikan ketibaan vaksin untuk mencegah dan merawat COVID-19.
Sementara itu beliau juga menambah, hukum penggunaan vaksin COVID-19 adalah harus, serta wajib diambil bagi golongan tertentu.
Perkara ini telah diputuskan Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam.
Semoga ia jelas difahami oleh umat Islam yang ada merasa ragu-ragu tentang penggunaannya.
Diharapkan dengan langkah kerajaan ini dapat mengurangkan kes COVID-19 seterusnya memberi sinar baharu buat rakyat Malaysia untuk melihat keadaan kembali pulih seperti sebelum pandemik ini berlaku.
Sumber: YouTube Harian Metro
Post comments (0)