Pelakon dan pelawak otai, Saiful Apek, 55, mendedahkan pelakon cantik Maya Karin hampir lemas ketika melakukan babak dalam air sewaktu penggambaran filem Duyung pada tahun 2008.
Menurut Apek atau nama sebenarnya Muhammad Saiful Azam Mohamed Yusoff, dia melihat Maya sedang bergelut hampir lemas kerana mata aktres itu dimasuki air laut dan klip rambutnya tersangkut pada jaring.
Melihat insiden cemas itu berlaku di hadapan mata sendiri, Apek ketika itu dengan pantas datang menyelamatkan Maya dan membawa naik aktres itu ke atas permukaan air.
“Saya tidak pernah dedahkan perkara ini. Maya hampir lemas ketika penggambaran filem Duyung sekitar 16 tahun lalu. Insiden berlaku waktu Maghrib dan visual agak terhad disebabkan sudah gelap. Namun, pihak produksi perlu juga lakukan ‘shoot’ Maya dalam air kerana esoknya dia sudah mahu pulang.
“Sepatutnya, pihak produksi mahu menjalani penggambaran babak Maya timbul dari permukaan air, tetapi ketika itu, dia tidak timbul-timbul. Rupanya mata dia masuk air, air laut agak masin menyebabkan mata dia jadi pedih dan kemudian tersasar.
“Ketika itu juga, dia memakai rambut palsu yang banyak pin dan klip. Klip rambutnya tersangkut pada jaring. Maya hanya menggunakan oksigen sebelum dia turun ke dalam laut. Ketika berada dalam permukaan air, Maya tak menggunakan tong oksigen kerana dia menjayakan watak Duyung. Manakala saya pula memang menggunakan tong oksigen.
“Kebetulan saya sedang berenang dan menyelam dalam air kerana waktu itu saya tiada babak. Pasukan penyelamat pula berada agak jauh dari Maya. Saya lihat keadaan Maya dalam air sedang cemas dan mulut macam dah penuh telan air, hampir lemas. Saya terus menuju ke arah dia dan selamatkan dia. Tolak badan dia ke atas permukaan air,” katanya.
Apek mendedahkan perkara itu ketika ditemui pada sidang media sekuel filem Duyung iaitu Duyung Legenda Aurora yang diadakan di Wetland Studio, Putrajaya, pada Selasa.
Filem Duyung Legenda Aurora merupakan naskhah terbitan KRU Studios, 8 Bit Studio dan Primeworks Studios.
Berkongsi lanjut insiden berkenaan, Apek mendedahkan kejadian terbabit menjadi mimpi buruk buat Maya dan seluruh pasukan produksi.
“Apabila sudah bawa naik ke atas, Maya jerit kuat sangat dan semua krew dan pasukan produksi panik. Saya boleh anggarkan dalam lima minit juga Maya berdepan situasi cemas itu.
“Saya yakin insiden itu membuatkan Maya trauma dan saya sendiri melihat rasa trauma. Boleh dikatakan insiden itu macam mimpi ngeri untuk kami semua.
“Shoot yang Maya timbul itu juga dibatalkan serta merta dan tidak dimasukkan dalam filem walaupun babak lain sudah selesai,” katanya lagi.
Filem Duyung Legenda Aurora bakal memulakan penggambaran pada 13 September hingga 13 Oktober 2024.
Filem ini dijangka menemui penonton di pawagam pada suku tahun ketiga 2025.
Selain Apek dan Maya yang bakal mengekalkan watak mereka, pelakon lain yang membintangi filem sekuel ini ialah Anna Jobling, Ayie Floor 88, Yasmin Hani, Yassin Senario, Datuk Yusry Abdul Halim, Nadia Brian, Kumpulan Zero, Aniq Aqil dan Aidilia Hilda.
Untuk rekod, filem Duyung pernah memenangi Anugerah Khas Box Office di Festival Filem Malaysia ke-21 (FFM 21) pada 2008.