Mengakui bimbang dengan isu kecurangan yang semakin berleluasa, namun penyanyi jelita, Wany Hasrita berharap agar dia sentiasa berlapang dada dan berserah sekiranya ditakdirkan rumah tangganya diuji.
Menjalani tanggungjawab sebagai isteri dalam ‘pasangan jarak jauh’ atau PJJ bersama suami, Mohd Al-Adib Fahmi Harun selama dua tahun, Wany mengakui dia tidak mempunyai kuasa untuk menghalang perkara (curang) daripada berlaku.
Bagaimanapun, pelantun lagu popular Menahan Rindu itu meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada suami yang bekerja di Kuching, Sarawak.
“Saya mengamalkan konsep kita jagalah sebaik mana pun, kalau suami pilih nak buat, akan jadi juga (curang). Bukan suami saja, isteri pun.
“Kita masing-masing dah dewasa boleh fikir mana yang baik, mana buruk,” katanya.
Wany berkata demikian ketika ditemui di pelancaran memperkenalkan dua makanan mee segera Nongshim di Sunway Pyramid, Petaling Jaya, pada Rabu.
Sementara itu, Wany tidak menafikan kadang kala dia ada terfikir mengenai perkara negatif dalam perkahwinan, namun ibu anak satu ini sentiasa berpegang kepada prinsip bahawa pasangan juga adalah pinjaman dari Allah SWT.
“Saya wanita, mesti ada fikir perkara negatif begitu tetapi pada akhirnya semua ini adalah pinjaman Allah.
“Kalau Allah nak bolak balikkan hati dia, bila masa pun boleh. Semuanya terpulang kepada diri sendiri untuk untuk mendidik dan beringat pasangan kita bukan hak kita selamanya.
“Apapun saya berharap akan terus bertenang macam sekarang seandainya perkara seperti itu terjadi, ujian setiap manusia berbeza tetapi minta dijauhkanlah perkara yang buruk-buruk dalam perkahwinan saya,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Wany mengakui awal perkahwinannya bersama Adib dia pernah curi-curi melihat mesej di telefon bimbit suaminya itu.
Namun begitu, Wany terus menghentikan perbuatannya setelah menyedari perkara tersebut adalah satu dosa.
“Saya baru tahu curi-curi tengok phone suami tu berdosa. Dulu ada saya buat waktu awal berkahwin.
“Bila saya pergi kelas agama, rupanya saya dapat tahu sengaja mencari salah suami itu adalah berdosa.
“Banyaknya dosa saya, tetapi lepas dah tahu saya minta maaf dengan suami dan tak buat lagi perkara itu,” tuturnya lagi.
Sekadar info, Wany dan Adib mendirikan rumah tangga pada 22 Julai 2022.
Hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Aishah Al Iman, pada 8 Julai tahun lalu.
Artikel Berkaitan: Wany Hasrita Anggap Individu Samakan Wajah Anak Selebriti Dengan B*natang ‘Tak Sihat Mental
Artikel Berkaitan: “Ibu Akan Tepuk Bahu Dan Kata…” – Wany Hasrita Akui Sukar Urus Anak Sendirian