Pelakon dan pelawak, Joey Daud menepis dakwaan juri tetap bagi program hiburan Famili Duo Musim Ke-4 iaitu Mas Idayu selepas dia didakwa terlupa lirik ketika melakukan persembahan di pentas separuh akhir pada Ahad.
Kata Joey ketika ditemui XTRA usai konsert tersebut, walaupun berasa sedih, dia akur dengan keputusan yang diberikan sekaligus menghormati pandangan juri terhadap persembahan duo nya bersama Naqiu.
Malah, dia enggan mengulas lanjut dan memanjangkan isu berkenaan komen yang diberikan Mas Idayu terhadapnya.
“Mana ada saya lupa lirik? Nanti kalau jawab jadi kontrovesi dik. Saya sebenarnya, vokal dan saya menghormati pandangan masing-masing dan ini takdirnya saya perlu reda,” ulasnya.
Bagaimanapun, ketika ditanya sama ada dia bersetuju atau tidak dengan komen yang diberikan juri, Joey menjelaskan dia perlu melihat semula persembahan mereka pada malam tersebut.
“Saya kena lihat balik persembahan kamim dimana kelemahan kami.
“Sebab saya diatas pentas saya tidak tahu view dia macam mana,” katanya.
Mengaku terkejut dengan penyingkirannya, Joey atau nama penuhnya, Zulkifli Daud, 53, berkata, dia dan Naqiu sudah melakukan yang terbaik di atas pentas.
“Saya amat terkejut dengan penyingkiran ini dan tertanya-tanya teruk sangat ke persembahan kami?
“Kalau teruk, kami minta maaf kerana mengecewakan ramai pihak. Tapi kalau tidak ambil lah ia sebagai satu hiburan.
“Yang saya tahu, saya dah gabungkan kepakaran kami (bersama Naqiu) mengikut kehendak Famili Duo iaitu untuk menghiburkan,” jelasnya.
Meskipun reda dengan keputusan tersebut, Joey menjelaskan berkenaan komen sarkastik yang diberikan Mas Idayu terhadapnya apabila dikatakan tidak pernah menjuarai mana-mana pertandingan sebelum ini.
Tegas Joey, dia sebenarnya pernah menjuarai sebuah pertandingan televisyen swasta namun, tetap bersetuju dengan komen yang diberikan Mas Idayu, kerana baginya program Famili Duo ini dapat menambah pencapaian ‘portfolio’ nya dalam industri seni tanah air.
“Saya sebelum ini juga memang pernah mendapat gelaran juara tetapi mungkin juri pun tak pernah.
“Saya bersetuju untuk mengikuti program ini adalah untuk menambah pencapaian saya.
“Tapi tidak mengapa mungkin setakat ini saja, yang penting kejuaraan kami di hati peminat,”ujarnya.
Terdahulu, Mas Idayu mendakwa Joey terlupa lirik ketika melakukan persembahan selain mendakwa pelawak itu tidak pernah bergelar juara dalam mana-mana pertandingan sebelum ini.
Selain Joey dan Naqiu, pasangan yang gagal melayakkan diri pentas akhir Famili Duo 4 ialah, pasangan adik-beradik, Zahid dan Anne.
ARTIKEL BERKAITAN:Didakwa Lupa Lirik Ketika Persembahan, Joey Daud Tepis Dakwaan Mas Idayu – “Mana Ada Lupa Lirik?”
ARTIKEL BERKAITAN:Joey Daud Kecewa Segelintir Produksi Utamakan Jumlah Pengikut Di Media Sosial Berbanding Bakat – “Orang Dah Tak Mahu Kita…”
ARTIKEL BERKAITAN:Famili Duo 4: Naqiu & Joey Pertama Kali Bolos Juara Mingguan, Perjalanan Duo Didi Astillah & Thamiera Terhenti Di Suku Akhir!
Famili Duo 4 dikemudikan oleh gandingan selebriti serba boleh iaitu Janna Nick dan Sharif Zero sebagai hos program manakala kerusi juri pula diduduki oleh figura hebat, Mas Idayu dan Datuk Rosyam Nor.
Enam pasangan yang bersaing dalam Famili Duo 4 adalah Shiha Zikir & Ieda Zikir (adik-beradik), Zahid & Anne (adik-beradik), Ayie Elham Floor 88 & Salma Asis (sepupu), Tomok & Sharul Kamal (sepupu), Didi Astillah & Thamiera Chan (sepupu) dan Naqiu & Joey Daud (sepupu).
Mereka bersaing selama lapan minggu bagi merebut gelaran juara yang menawarkan hadiah wang tunai RM100,000.
Pemenang mingguan akan ditentukan oleh juri dengan pemarkahan sebanyak 70 peratus dan undian atas talian melalui Tonton (30 peratus). Pemenang mingguan membawa pulang gelaran Duo Terbaik bersama wang tunai bernilai RM10,000.
Jangan lupa saksikan Famili Duo 4 yang bersiaran selama lapan episod bermula 20 Oktober 2024, setiap hari Ahad, pukul 9.00 malam di TV3 dan boleh distrim langsung secara HD melalui Tonton di www.tonton.com.my atau di aplikasi Tonton yang boleh dimuat turun dari Google Play atau App Store.