Pelakon dan pelawak, Joey Daud mengakui kecewa mengenangkan nasib industri hiburan masa kini yang lebih mementingkan jumlah pengikut di media sosial berbanding bakat seseorang.
Ketika ditemui XTRA, Joey atau nama lengkapnya mendedahkan dia kehilangan sebuah projek besar selepas pihak atasan memutuskan untuk mengantikkan tempatnya dengan individu lain yang mempunyai lebih ramai pengikut.
‘Kami sudah bermesyuarat hampir tiga minggu, namun bos mereka mahukan seseorang yang ada pengikut ramai di media sosial.
“Ia adalah sebuah projek yang besar dan saya bukan kecewa kerana tidak dapat projek tersebut tetapi tindakan mereka terlalu memfokuskan terhadap perkara ini. Mereka tidak membantu kami.
‘Saya balik dan katakan kepada anak serta isteri, ‘mungkin ini masanya orang sudah tidak mahukan kita, mereka lebih percayakan pengikut daripada bakat,” katanya.
Mengulas lebih lanjut, Joey berpendapat bahawa industri hiburan pada masa kini tidak wajar berpandukan media sosial yang mudah dimanipulasi serta tidak menjaminkan bakat setiap anak seni.
“Jadi saya bertanya pada diri saya juga, bagaimana jika perkara ini terjadi kepada Eman Manan? Sebab dia tidak ada pengikut di media sosial.
“Saya sayangkan legasi akan datang, kalau orang lebihkan pengikut, bagaimana pula dengan bakat?
‘Pengikut orang boleh beli dan boleh ditipu, kemudian apa akan jadi dengan industri kita? Itu yang menyebabkan saya berasa amat sedih.
‘Anak seni kita mempunyai bakat yang sangat baik tapi ada pihak yang lebih percaya kepada pengikut, jadi saya sangat kecewa,” tambahnya lagi.
Joey berkata demikian ketika ditemui pada sidang media minggu keenam Famili Duo 4 yang berlangsung di Studio NTV7 Glenmarie, Shah Alam pada Ahad.
Meskipun begitu, Joey tetap berpegang kepada prinsip hidupnya untuk sentiasa mengutamakan bakat melebihi daripada bilangan pengikut media sosial.
“Saya lebih percaya kepada organik daripada perkara ini. Buat masa ini saya masih berkeras tentang hal ini dan saya pegang moto hidup arwah bapa saya.
‘Saya bekerja untuk hidup tapi bukan hidup untuk bekerja. Jangan salahkan yang betul dan jangan betulkan yang salah.
“Paling penting untuk saya apa pun yang kita buat, kita perlu bagi manfaat kepada orang,” ujarnya lagi.
Sebelum ini, Joey pernah meluahkan mengenai isu berkenaan menerusi podcast bersama kumpulan Bocey.
Sementara itu, Joey yang bertanding dalam program nyanyian Famili Duo 4 bersama pasangan duo, Naqiu berjaya ke separuh akhir selepas pertama kali merebut gelaran Duo Terbaik di minggu keenam yang bertemakan retro.
Mendapat markah ‘perfect 10’ daripada kedua-dua juri tetap iaitu Datuk Rosyam Nor dan Mas Idayu, pasangan duo Naqiu dan Joey membawa pulang hadiah mingguan berjumlah RM10,000.
Jangan lupa saksikan Famili Duo 4 yang bersiaran selama lapan episod bermula 20 Oktober 2024, setiap hari Ahad, pukul 9.00 malam di TV3 dan boleh distrim langsung secara HD melalui Tonton di www.tonton.com.my atau di aplikasi Tonton yang boleh dimuat turun dari Google Play atau App Store