
PETALING JAYA: Pemuda Pakatan Harapan (PH) melantik Kelvin Yii daripada DAP sebagai ketua sayap gabungan itu, menggantikan ADUN Pasir Pinji Howard Lee.
Yii dipilih sebagai ketua Pemuda DAP pada Mac lalu.
Dalam kenyataan, Pemuda PH akan mempunyai empat timbalan – Hasbie Muda (Amanah), Nurthaqaffah Nordin (Amanah), Adam Adli (PKR) dan Felix Joseph Saang (Upko).
Sementara itu, kepimpinan Pemuda PH yang baharu berkata, mereka akan memulakan “Jelajah Harapan Anak Muda” yang akan menyentuh isu kos sara hidup dan pekerjaan.
Jelajah itu akan bermula pada 13 Ogos ini di Kota Bharu, Kelantan.
Yii ialah ketua Pemuda PH kelima selepas Nik Nazmi Nik Ahmad (PKR), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Bersatu), Shazni Munir Mohd Ithnin (Amanah) dan Lee (DAP).