Imbas untuk muat turun aplikasi

Artikel

Kemas Kemas Raya Hadiah Istimewa Top 5 CSOIAM Buat Peminat

today20 March 2025

Background

Selepas mencipta nama menerusi rancangan realiti nyanyian Calpis Soda One In A Million (CSOIAM), lima peserta kesayangan ramai itu kini kembali menghangatkan industri dengan pelancaran lagu raya mereka berjudul, Kemas Kemas Raya!

Menggabungkan elemen muzik tradisional dan moden dalam genre pop, lagu raya ini bukan sekadar hiburan biasa memandangkan ia membawa perspektif segar dan berbeza daripada kebiasaan lagu raya.

Terpilih kerana memiliki karakter tersendiri, Top 5 CSOIAM menampilkan Marygrace, Kai Deva, Jimi, Zazzleen, dan Mariam untuk terlibat dalam naskhah projek Kemas Kemas Raya.

Keunikan lagu ini terletak pada vibe dan liriknya yang segar selain diiringi muzik catchy yang mengikut trend semasa.

Dengan gaya berkumpulan serta korus yang mudah diikuti, lagu ini lebih menarik dan sesuai dengan selera Gen Z hari ini.

Menurut komposer dan penulis lirik Kemas Kemas Raya, Adam Stapler, lagu ini berinspirasikan suasana menjelang Syawal, fokus Kemas Kemas Raya adalah untuk menghidupkan semula tradisi mengemas rumah, mengingatkan bahawa kemeriahan Aidilfitri bukan sekadar tentang duit raya, pakaian baru, atau juadah lazat, tetapi juga suasana rumah yang nyaman dan teratur.

“Selalu kalau lagu raya, mesti cerita tentang duit raya, lemang, dan bermaafan. Sebab itu kami bawakan lagu yang rare ini dengan mesej simple tapi penting dan kemas rumah dulu sebelum raya!” ulasnya.

Proses Rakaman yang pantas dan efisien

Berkongsi pengalaman pembikinan lagu ini, Adam memaklumkan, bekerja besama Top 5 CSOIAM sangat mudah memandangkan mereka sudah terlibat dalam pertandingan.

“Mereka sudah biasa dengan disiplin pertandingan, jadi sangat mudah bekerja bersama mereka. Lagipun, mereka cepat tangkap apa yang saya mahukan.

“Dalam masa sehari, mereka sudah menghafal dan memberikan sepenuh fokus untuk memastikan lagu ini disempurnakan dengan baik.” katanya.

Sesi rakaman Kemas Kemas Raya juga dikatakan antara yang terpantas mereka lakukan iaitu hanya mengambil masa selama empat jam sahaja.

“Setiap seorang mengambil masa kira-kira satu jam untuk rakam bahagian masing-masing. Kami dapat demo petang, dan malam itu juga terus jalani sesi rakaman. Semua orang beri komitmen terbaik,” kongsi Zazleen.

Cabaran dan Harapan

Mengulas lanjut mengenai cabaran dan harapan menerusi lagu raya pertama mereka ini, Kai Deva berkongsi, kelima-lima mereka memastikan peminat dapat merasai semangat hari raya ketika mendengar lagu tersebut sekaligus berharap agar Kemas Kemas Raya diterima peminat.

“Kami perlu memastikan semangat raya benar-benar dirasai, selain ia ceria, bertenaga, dan penuh kemeriahan!” jelasnya.

Sebagai lagu raya pertama mereka dalam industri, mereka berharap ia mendapat tempat dalam hati pendengar.

“Lagu ini wajib didengari sebab ramai boleh relate dengan situasi kena kemas rumah sebelum raya. Bolehlah pasang lagu ini sambil mengemas, tambah mood raya sekali!” tambah Marygrace.

Manakala,, bagi Jimi pula, dia berhaap agar lagu Kemas Kemas Raya dapat mengeratkan hubungan silaturrahim antara adik-beradik, rakan-akan dan orang sekeliling.

“Saya berharap lagu ini dapat mengeratkan silaturahim antara adik-beradik, rakan-rakan, dan orang di sekeliling kita. Raya akan jadi lebih bermakna,”kata Jimi.

Written by: Aqilah


Previous post