Imbas untuk muat turun aplikasi

Artikel

Kena Kecam Terlalu Seksi, Fasha Sandha Malas Layan Kritikan Warganet

today17 November 2023

Background

Sering dikecam berimej seksi, pelakon Fasha Sandha memberitahu dirinya sudah lali dan tidak pernah tergores hati.

Memetik laporan mStar, pemilik nama sebenar Nur Fasha Sandha Hassan itu berkata, kecaman yang diberikan sama sekali tidak menjejaskan diri dan kerjayanya.

“Saya biar sahaja, tidak kisah pun sebab komen-komen itu tidak beri kesan pun kepada hidup saya,” katanya.

Pelakon filem Cicakman itu hanya memandang dari sudut positif sahaja.

Menganggap kritikan sebagai pengajaran hidup, Fasha tidak rimas malah bersyukur apabila dikritik oleh netizen kerana membantu menjadi manusia yang lebih baik.

Bagi artis kelahiran Johor itu, manusia sememangnya tidak ada yang sempurna. Justeru, dia perlu berlapang dada apabila ditegur peminat.

“Ada juga teguran mereka yang saya ambil. Saya banyak kelemahan yang perlu dibaiki,” jelasnya lagi.

Difahamkan, Fasha sering menerima kecaman pedas netizen yang mempertikai tindakannya yang enggan menutup aurat dengan sempurna.

Dalam pada itu, Pelakon Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian pada tahun 2008 itu memaklumkan dia lebih mengutamakan kehendak dirinya sendiri berbanding tuntutan untuk memuaskan hati orang lain.

“Saya tetap akan buat apa perkara yang saya ingin lakukan sebab hidup kita tak boleh berlandaskan apa yang orang lain suka. Kita kena buat apa yang kita suka.

“Kalau kita ikut apa yang orang inginkan, kita tidak akan gembira. Contohnya kalau nak berhijab demi trend, tunjuk baik, perlukan pujian orang, pada saya benda itu tidak akan kekal,” luahnya.

Fasha menasihati netizen agar jangan terikat dengan kemahuan orang lain, lebih baik gembirakan hati sendiri terlebih dahulu.

Sumber : mStar

Written by: Aqilah


Previous post