
PETALING JAYA: Pihak kerajaan berhasrat mencadangkan Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) digantung selama enam bulan kerana mendakwa Perdana Menteri Anwar Ibrahim pemimpin yang menyalahgunakan kuasa.
Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi dijangka mencadangkan usul itu selaku menteri kemajuan desa dan wilayah, berdasarkan aturan urusan mesyuarat dan usul-usul Dewan Rakyat bagi 5 Mac.
Wan Saiful dikatakan membuat dakwaan itu ketika membahas titah diraja Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat pada Rabu lalu.
Menurut usul itu, Wan Saiful didakwa mengeluarkan sangkaan jahat ke atas Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun, walaupun speaker Dewan Rakyat berulang kali mengarahkan supaya tidak membuat kenyataan sedemikian.
Wakil rakyat Bersatu itu juga didakwa menggunakan nama Agong bagi mempengaruhi majlis mesyuarat.
FMT sedang mendapatkan komen pemimpin Bersatu.