Imbas untuk muat turun aplikasi

Lifestyle

Kmy Kmo & Luca Sickta Cipta Lagu ‘Makuta’ Khas Untuk Hazama

today30 July 2022

Background

Impian duo hip hop ternama, Kmy Kmo dan Luca Sickta untuk berkolaborasi dengan penyanyi Hazama tercapai apabila mereka muncul dengan single terbaharu berjudul Makuta.

Sebelum ini, Kmy dan Luca menampilkan tiga orang ‘Datuk’ dalam karya kolaborasi mereka menerusi single Zuhud bersama Datuk M. Nasir pada 2019, 7 Nasihat bersama Datuk Seri Siti Nurhaliza pada 2020 dan Neraca bersama Datuk Jamal Abdillah pada 2021.

“Lagu ini memang kami cipta khas untuk dinyanyikan bersama Hazama. Dia ada setiap karakter yang tepat untuk membawakan lagu ini.

“Sebenarnya, kami mahu bekerjasama dengan Hazama menerusi lagu Neraca lagi, tapi tak ada rezeki untuk kami menjalin kolaborasi.

“Sangat senang bekerja dengan Hazama. Dia merupakan seorang penyanyi yang mungkin nampak fun dan kelakar, tetapi apabila masuk ke studio rakaman, dia sangat tekun dan memberikan kerjasama dengan baik,” kata Kmy.

Menurut Luca, mereka mempunyai alasan tersendiri memilih ‘Makuta’ untuk dijadikan sebagai tajuk lagu.

“Makuta membawa maksud Mahkota dalam istilah Sunda. Boleh saja kami guna perkataan Mahkota untuk dijadikan tajuk, tetapi mungkin ia tak dapat menarik perhatian.

“Setiap lagu yang kami hasilkan, memang akan ada peminat atau pendengar akan bertanya mengenai maksud dalam lirik lagu kami, terutama generasi muda. Jadi ia sebagai salah satu benda baru yang boleh dipelajari,” katanya lagi.

Menurut Hazama pula, mesej murni yang disampaikan dalam lagu ini menarik minatnya untuk menjalin kolaborasi.

“Makuta berunsur nasihat. Ia penuh dengan kiasan. Saya sukakan lirik lagu yang boleh memberi impak positif terhadap orang lain, terutamanya pendengar.

“Senang sangat bekerjasama dengan mereka. Biarpun mereka cerewet dalam studio rakaman, saya memahaminya kerana mereka teliti dengan kerja mereka. Akhirnya, saya dapat sampaikan apa yang mereka mahu dan Makuta pun terhasil,” katanya lagi.

Written by: Aqilah


Previous post