Belum reda dengan kes tular sebuah kereta jenis Proton Saga FLX berwarna kelabu yang dihempap batu konkrit dari struktur pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE), kali ini sebuah lagi kereta jenis Proton Saga berwarna merah dirempuh dengan sebuah kren besi daripada struktur pembinaan terbabit.
Polis mengesahkan video yang tular di media sosial itu sebenarnya dirempuh oleh sebuah kren besi daripada struktur pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) di Taman Len Seng, Cheras, malam tadi dan bukan dihempap besi daripada struktur pembinaan itu.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya, mengesahkan kejadian itu. Katanya, pemandu kereta berkenaan, P Sivalingam seorang pemandu e-hailing berusia 55 tahun dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Siasatan mendapati pemandu kereta itu membelok ke kiri untuk masuk ke Jalan Len Seng dari Cheras, lalu dirempuh sebuah kren dari belakang yang sedang bergerak di jalan sama.
“Akibat kemalangan itu, cangkuk kren itu menghempap bumbung kereta berkenaan. Pemandu yang tersepit dalam kereta dikeluarkan dengan bantuan anggota bomba.
“Pemandu kren yang masih tidak membuat laporan polis dipercayai tidak memberhentikan kenderaannya dan bertindak meninggalkan kawasan kejadian,” kata Zulkefly.
Mengulas lanjut, Zulkefly berkata, pemeriksaan lanjut tidak menemui sebarang serpihan objek lain dalam kereta.
Dalam pada itu, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) mengarahkan kerja-kerja pemasangan dinding parapet Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) dihentikan serta merta. Timbalan Menteri Sumber Manusia Awang Hashim dalam satu kenyataan hari ini berkata, arahan itu dikeluarkan supaya siasatan komprehensif dapat dijalankan oleh JKKP bagi mengenal pasti punca kejadian.
Sebelum ini, seorang wanita yang nyaris maut apabila keretanya ditimpa batu konkrit daripada struktur pembinaan SUKE, disahkan patah tangan kiri dan tulang selangka akibat kejadian itu.
Mangsa dikenali sebagai Wan Aqila Hanen Wan Maliki, kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Sumber dari BH Online & Bernama.
Post comments (0)