Imbas untuk muat turun aplikasi

Artikel

Masih Belum Ada Rezeki Timang Cahaya Mata, Beto Kusyairy Akur

today29 June 2022

Background

Pelakon filem Mat Kilau, Beto Kusyairy kelihatan sangat bahagia bersama isterinya walaupun masih belum dikurniakan zuriat.

Menurut Beto, zuriat dan penantian merupakan soalan lazim yang sering diterimanya namun dia tidak mengambil hati tentang hal tersebut.

Memetik laporan Kosmo, dia langsung tidak menyalahkan takdir atau menuding jari kepada Maha Esa malah tenang menjalani kehidupan bersama isteri tanpa berputus asa.

“Kalau dikira, 14 tahun dah saya kahwin dan jadi suami, tapi rezeki untuk memiliki cahaya mata masih belum jadi hak kami.

“Tapi tak mengapalah, tiada rezeki anak, Allah beri rezeki lain kepada kami berdua. Kesihatan, kasih sayang, makan minum mencukupi, boleh bekerja itu semua rezeki,” katanya.

Tambah Beto, banyak cara telah diusahakan, tetapi dia akur rezeki masih belum kunjung tiba.

“Nak kata tak usaha, macam-macam cara saya dan isteri dah cuba. Daripada rawatan Islam, moden sampailah tradisional semuanya sudah kami jalani.

“Tetapi mungkin memang Tuhan dah kata masih belum tibanya lagi waktu untuk kami bergelar ayah dan ibu, jadi kami serahkan semuanya kepada-Nya.

“Seperkara lagi, saya bersyukur kerana memiliki kedua-dua belah keluarga termasuk mentua yang cukup memahami dengan situasi kami.

“Mereka tidak memaksa, menekan atau sering mengajukan soalan sama berhubung anak,” tuturnya.

Beto dan isteri telah mendirikan rumah tangga sejak 14 tahun lalu iaitu pada 2008 dan mengakui seri dalam rumahnya seakan-akan kosong tanpa kehadiran cahaya mata yang belum dikurniakan buatnya.

Sumber: Kosmo

Written by: Aqilah


Previous post