Suasana di Axiata Arena, Bukit Jalil pada malam Sabtu lalu gamat dan meriah dengan kehadiran pelajar sekolah berpewatakan abang jambang, pemuda berbaju Kadet Remaja Sekolah (KRS) dengan misai tebal di wajah, kakak pejabat yang mengenakan uniform Pandu Puteri, ‘remaja purba’ berusia 35 tahun serta ibu anak dua yang comel menggayakan baju kurung kain biru..
Rata-rata 9,000 penonton yang hadir sporting memenuhi tema Back to School: Malam Graduasi dan mahu berhibur mengenang momen manis masa silam zaman keremajaan menuju dewasa di konsert kedua penyanyi dan komposer Indonesia berbakat besar, Melly Goeslaw di Malaysia.

Mungkin bukan juara dari sudut vokal, namun “Ada Apa dengan Melly & Friends” sukses dan berada dalam kelas tersendiri kerana rata-rata penonton yang hadir membesar dengan lagu-lagu dendangan serta ciptaan Melly dan larut dalam emosi saat konsert itu berlangsung.
Impak lagu-lagu Melly bukan kepalang. Pastinya ada yang pernah menangis terkenang memori cinta zaman sekolah apabila terdengar lagu Melly. Ada juga yang tersenyum girang teringat kenangan lalu membesar bersama rakan-rakan sebaya menerusi naskhah ciptaannya. Semua yang hadir pada malam itu nyata terhibur dan sama-sama menyanyi sepanjang konsert berlangsung.

Bukan sekadar berhibur, Melly tidak lupa untuk menyatakan solidariti kepada saudara di Palestin dengan mencipta lagu khas dalam satu segmen istimewa bersama dua penonton bertuah. Hanya memerlukan 10 minit, Melly mencipta lagu terbabit serta memberi keizinan untuk sesiapa sahaja menggunakan lagu itu atas nama cintakan Palestin.

Menyampaikan 23 rangkaian lagu popular seperti Tak Tahan Lagi, Ingin Mencintai Dan Dicintai, Pecinta Wanita, Berdua Lebih Baik, Suara Hati Seorang Kekasih + Sampai Menutup Mata (Medley), Bimbang + Denting (Medley), Ayat-Ayat Cinta, Gantung, My Heart, Jika, Biarlah Rahsia, Menghitung Hari + Atas Nama Cinta (Medley), Cinta, Cinta Sejati + Kamu Dan Kenangan (Medley), Ada Apa Dengan Cinta + Ratusan Purnama (Medley), Hey Ladies, Hanya Memuji, Let’s Dance Together dan Bagaikan Langit, Melly menutup pentas dengan lagu berhantunya, Ku Bahagia.

Melly turut mengundang Joe Flizzow serta Putri Ariani untuk sama-sama memeriahkan pentas konsert yang dibawakan AKE Group dengan kerjasama Icon Entertainment itu.
Sebelum penonton pulang bertemankan senyuman puas berhibur di konsert terbabit, Melly mengumumkan dia akan kembali mementaskan konsert di Axiata Arena, Bukit Jalil bertemakan ‘Prom Night’ pada 31 Mei tahun depan.
