Selepas kejayaan Konsert Soul Sisters yang menggandingkan Misha Omar bersama Noryn Aziz dan Siti Sarah tempoh hari, Misha tampil memaklumkan dia akan menjayakan konsert solonya.

Konsert tersebut akan berlangsung di Dewan Filharmonik Petronas pada 5 Ogos ini.
“Secara jujur, saya agak berdebar, pada masa sama, teruja menantikan detik itu. Sebagai penyanyi, ini momen yang saya paling tunggu.”
Misha turut menyifatkan, konsert solonya, This Is Misha Live at DFP sebagai ruang untuk berkongsi perjalanan seni sepanjang 17 tahun bersama peminat.

Konsert tersebut juga bakal membawa peminatnya mengenang jatuh bangun perjalanannya dalam industri muzik.
“Saya terharu menerima sokongan dan kata positif peminat sebaik sahaja jualan tiket konsert itu dilancarkan.”
Menurut sumber, jualan tiket untuk konsert berkenaan turut mendapat sambutan hangat selepas ia telah habis dijual sejurus beberapa jam dilancarkan.

Mengenai persiapan menjelang konsert itu, Misha berkata, latihan hanya bermula selepas sambutan 1 Syawal kerana dia akan berehat sepanjang Ramadan nanti.
“Seperti biasa, saya akan kembali menjalani latihan vokal di bawah bimbingan Datuk Syafinaz Selamat.”
Selain lagu popular, Misha menjelaskan dia turut mahu membawa peminat mengimbau sentuhan yang menjadi kegemaran ramai.
Post comments (0)