Pelakon veteran berkaliber, Fatimah Abu Bakar mengakui filem lakonannya, Imaginur amat memberi impak mendalam terutamanya dalam isu keluarga.
Fatimah ketika ditemui di malam gala filem Imaginur baru-baru ini berkata dua watak yang dipegang oleh pelakon veteran Mior Hashim Manap dan Datuk Rahim Razali membuatkan dirinya teringat kepada ibunya, Rohani Tan Abdullah.
“Untuk saya, filem Imaginur ini membuatkan saya menjadi emosi kerana saya terbayang watak Mior Hashim dan Rahim seperti arwah ayah dan ibu saya,” katanya.
Di kesempatan itu, Fatimah menceritakan ibunya, Rohani Tan Abdullah, berusia 89 tahun dimana keadaan ingatannya kini semakin merosot.
“Ibu saya pada tahun ini dia berumur 89 tahun. Di usia sebegini saya takut dia kehilangan memori. Kami perasan dia cepat lupa. Sekarang dia masih ingat saya cuma bila bercakap mengenai memori ini saya jadi tertanya, apa yang mengenai saya dan keluarga pasal saya yang dia ingat.
“Saya tahu dia takut sekiranya dia akan lupa ingatan cuma dia tak menunjukkan kepada kami, malah dia buat lawak mengenai perkara itu. Untuk membuatkan dia rasa tenang, saya pun akan kata ini bukan soal umur sebab saya pun sama,” tambahnya.
Dalam pada itu, Fatimah turut menganggap manusia ini adalah insan yang sangat mudah rapuh.
“Relationship is very fragile, it is all about what we remember. Kalau kita ingat perkara yang elok, maka eloklah. Macam dalam dialog di dalam filem, ‘episod yang berulang’.
“Fragilenya kita ini, kalau orang nampak kita, kita wujud. kalau orang tak nampak kita, maka kita tak wujudlah. Takut,” akhirnya.
Diarah oleh Nik Amir Mustapha, filem Imaginur akan mula ditayangkan pad 23 Februari. Karya hebat ini membintangi barisan pelakon versatil tanah air seperti Beto Kusyairy, Diana Danielle, Nadiya Nisaa, Datuk Afdlin Shauki dan ramai lagi.