Imbas untuk muat turun aplikasi

Yang Hangat

Pernah Terpalit Kontroversi, Da’i Syed Bebas Tuduhan Jenayah Seksual

today31 May 2022

Background

Menempa nama menerusi program realiti TV, Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful atau lebih dikenali sebagai Da’i Syed sebelum ini pernah menjadi bualan ramai berikutan kontroversi yang terpalit dengan namanya.

Terbaharu, selepas hampir dua tahun, mahkamah sesyen pada hari ini telah melepas dan membebaskan pendakwah selebriti Da’i Syed atas dua pertuduhan mencabul dan melakukan persetubuhan luar tabii ke atas seorang penuntut kolej swasta.

Hakim Jamaludin Mat menetapkan perkara itu selepas bersetuju hujahan peguam tertuduh, Syed Amirul Syed Edros, supaya tertuduh dilepas dan dibebaskan mengikut Seksyen 254(3) Kanun Tatacara Jenayah bagi kedua-dua kes itu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Norhashimah Hashim memohon mahkamah melepas tanpa membebaskan tertuduh mengikut Seksyen 254(2) Kanun Tatacara Jenayah.

Dilaporkan peguam tertuduh memohon mahkamah melepas dan membebaskan anak guamnya kerana berpendapat pihak pendakwaan tidak berminat meneruskan kes itu selepas mencadangkan DNAA (dilepas tanpa dibebaskan) ke atas tertuduh.

Menurut Norhashimah Hashim, pengadu telah menarik balik laporan polis pada Disember tahun lalu secara sukarela tanpa paksaan dan habuan. Sekiranya perintah DNAA diberi, ia membawa maksud Syed Shah Iqmal boleh dituduh bila-bila masa dan akan terus dihantui sebagai pesalah seks.

Selain itu, pengadu juga tidak mengangkat sumpah di mahkamah bahawa laporan polis ditarik balik atas sukarela atau dipaksa berikutan keadaan kesihatan pengadu tidak mengizinkan pada ketika ini.

Sementara itu, Syed Shah Iqmal ketika ditemui media menzahirkan rasa syukur selepas keputusan mahkamah memihak kepadanya.

Sekitar 17 Mei lalu, Timbalan Pendakwa Raya P Vitiya Monisha memaklumkan kepada Da’i Syed bahawa pengadu dalam kes itu menarik balik laporan polis dibuat terhadap tertuduh.

Pada 10 Disember 2020, Syed Shah Iqmal, 27, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan persetubuhan luar tabii terhadap wanita berusia 22 tahun pada ketika itu dan menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa sama maksud untuk mencabul kehormatannya di rumah sewa tertuduh di Damansara Perdana, antara jam 3 hingga 4 pagi, 17 Oktober 2020.

Written by: Mimieyuzi


Previous post