Pelakon Raysha Rizrose akhirnya selamat melahirkan bayi sulung perempuannya pada Ahad.
Berita gembira itu dimaklumkan oleh kakaknya yang juga pelakon popular, Nelydia Senrose menerusi hantaran di ruangan Instagram Story miliknya.
Menurut Nelydia, dia bersyukur dan berasa gembira apabila dikurniakan rezeki yang tidak ternilai buat keluarganya sekaligus menutup tahun 2024 dengan berita gembira ini.
“Adik yang selalu ikut ke mana-mana dan bergaduh bersama sebelum ini sudah melahirkan seorang bayi.
“Alhamduillah atas segala nikmat yang kami sekeluarga terima ini. Semoga Allah sentiasa menghujani keluarga ini dengan penuh barakah dan penuh kasih sayang,” katanya.

Dalam pada itu, Nelydia percaya bahawa Raysha dan suaminya yang juga pelumba Formula 2, Nabil Jeffri mampu menjalankan tanggungjawab sebagai ibu bapa dengan baik.
Malah, pelakon yang popular menerusi drama rantaian ‘Setia Hujung Nyawa’ itu sempat menitipkan doa agar anak saudaranya yang dinamakan sebagai ‘R’ itu membesar menjadi manusia berguna.
“Saya dan suami tahu mereka akan jadi ibu bapa yang hebat kepada bayi itu.
“Baby R (panggilan nama bayi) awak sangat disayangi dan kami sangat bertuah memiliki awak.
“Semoga awak membesar menjadi sihat, cantik, dan kuat seperti ibu awak,” jelasnya.

Untuk rekod, Raysha dan Nabil mendirikan rumah tangga pada 22 Februari 2023 selepas dua bulan mengikat tali pertunangan.