Pelakon yang popular menerusi drama Jangan Benci Cintaku Saharul Ridzwan bakal terlibat dalam filem Coast Guard, iaitu filem pertamanya.
Oleh itu, dia menurunkan berat badannya daripada 90 kilogram (kg) ke 83 kg untuk menjayakan watak sebagai Leftenan Hafiz.
“Sebelum ini, berat badan saya boleh dikategorikan sebagai berlebihan dan tidak ideal apabila mencecah sehingga 90 kilogram.
“Sekarang, berat saya dah jadi 83 kg dan dalam proses untuk turunkan lagi kepada 78 atau 75 kg,” katanya.
Selain itu, Saharul juga menerima nasihat daripada rakannya yang juga pelakon, Hairul Azreen.
“Hairul ada berkongsi beberapa tip dengan saya mengenai kecergasan dan dia sendiri pun melakukan transformasi bentuk badannya dalam masa lima minggu.
“Kalau Hairul boleh buat, saya pun mesti boleh buat. Lagi pula, saya perlu nampak sesuai dengan karakter yang dilakonkan iaitu sebagai pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia),” jelasnya lagi.
Saharul akan mula menjalani penggambaran filem aksi yang berkisar mengenai pegawai Maritim Malaysia itu menjelang Ogos.
Selain Saharul, filem yang diarahkan oleh pengarah Hashim Rejab itu turut dibintangi Julia Farhana, Emma Maembong dan ramai lagi.
Post comments (0)