Penyanyi dan pelakon, Shiha Zikir meluahkan rasa kecewa apabila melihat ada segelintir pendatang baharu dalam industri muzik seolah-olah mempermainkan lenggok nyanyian tradisional.
Menerusi ciapan di platform Threads, Shiha atau nama sebenarnya, Nurshiha Mohd Zikir, menegur sikap mereka yang didakwa terlalu obses dengan gaya nyanyian barat sehingga merendahkan nilai tradisi.
“Dear adik-adik yang terror buat riff and runs, tolong jangan ‘ejek-ejek’ lenggok tradisional. Rasa bercampur baur bila tengok ada yang nyanyi lenggok tradisional macam mengejek siap dengan ekspresi muka.
“Serius saya tak suka. Jangan downgrade tradisional Melayu walaupun awak terpaling ‘western’,” tulisnya.
Luahan Shiha itu mendapat sokongan penyanyi terkenal, Shila Amzah yang bersetuju lenggok tradisional sebenarnya menjadi asas kekuatan vokal penyanyi tempatan.
“Dia tak tahu, bila mahir lenggok tradisional, vokal kita lebih lincah untuk buat riff and runs tu. Susah sebenarnya nak kuasai lenggok tradisional kita.
“Kalau lagi asli, contohnya lagu ghazal, satu not pun boleh bawa ke pelbagai arah. Tak mengapa, yang penting kita sayang tradisi kita,” tulis Shila.
