Pelakon kelahiran Singapura, Sofia Dendroff terbuka untuk berkongsi mengenai kekasih hatinya, Paul Bobrowski yang berasal dari Jerman.
Ketika ditemui XTRA, aktres drama rantaian Tonton Original Series: My Stolen First Kiss ini terjatuh hati kepada keperibadian Paul yang baik hati, kelakar dan paling utama menghormati kerjaya seninya sebagai anak seni.
“Dia bukan first love saya, tapi dia adalah orang yang saya cintai. Dia berasal dari Jerman, tetapi dah duduk di sini agak lama.
“Dia baik hati, kelakar.. Itu satu kualiti yang saya sukalah.. Hubungan kami masih baru, belum sampai tiga bulan, tetapi doakan yang terbaik,” katanya.
Ketika disoal sama ada jejaka seseorang yang kuat cemburu atau tidak, Sofia berkata teman lelakinya itu seorang yang santai, terbuka dan menyokong minatnya dalam bidang lakonan.
Namun begitu, sebagai aktres yang mempunyai pasangan Sofia tidak menafikan dia perlu menjaga batas dengan aktor-aktor lain demi hubungan tersebut.
“Dia seorang yang sangat terbuka dan sokong kerjaya saya. Dia hormati kerja saya. Tetapi saya pun tak boleh nak melebih-lebih dengan ‘sparring partner’ saya.
“Saya kena hormati hubungan saya dan jadi seorang pelakon profesional,” katanya.
Sofia tampil dalam drama Tonton Original Series: My Stolen First Kiss bersama barisan pelakon baharu seperti Aniq Durar, Shaza Bae, Imran Aqil, Wanie Ooi, Alif Hadi, Wanns Ahmad dan ramai lagi.
Drama komedi romantik Tonton Original Series: My Stolen FIrst Kiss kini sudah mula tayangan sejak 19 Ogos lalu di platform penstriman Tonton.
Artikel Berkaitan: Kekalkan Keserasian Dengan Aniq Durar Jadi Cabaran Utama Sofia Dendroff Dalam Tonton Original Series: My Stolen First Kiss