Sebut sahaja nama Adeline Tsen, sudah pasti rata-rata netizen mengingatinya kerana watak-watak antagonis atau perempuan ‘miang’ yang dijayakannya di dalam drama.
Mahu mencari kelainan, pelakon berusia 33 tahun itu mencabar diri dengan membawa watak berat iaitu mangsa dera suami sendiri menerusi drama Setelah Ku Dimiliki yang bakal bersiaran di slot Akasia TV3 tidak lama lagi.
Menurut Adeline atau nama penuhnya Adeline Anthony Primus Tsen, dia harus menangis selama satu jam tanpa henti ketika di set penggambaran.
“Saya sudah menjalani penggambaran drama tersebut selama 10 hari tetapi saya akui prosesnya membuatkan saya berasa sangat penat. Bayangkan saya dituntut untuk menangis selama satu jam tanpa henti kerana perlu menjayakan 10 babak dipukul,” katanya.
Untuk Adeline benar-benar menjiwai watak didera, dia cuba mengingati mendiang ibunya.
“Saya seorang yang sukar menangis. Tetapi apa yang saya buat untuk menjiwai watak berat sebegitu adalah dengan mengingati mendiang ibu. Saya kehilangan ibu ketika berusia 17 tahun dan perasaan sedih itu saya bawa ke dalam watak,” ujarnya lagi.
Bukan hanya penat menangis, badan Adeline juga mengalami bengkak dan lebam.
“Sewaktu babak dipukul, tak banyak perkara boleh dikawal dan macam-macam boleh berlaku. Meskipun bukan pukul betul-betul tetapi kesannya tetap ada. Contohnya ketika saya dicekik pada bahagian leher, walaupun tidak sakit tetapi meninggalkan kesan. Cuma tidaklah serius dan kesan lebam itu sedikit sahaja,” jelas Adeline.
Setelah Ku Dimiliki diarahkan oleh Osman Ali, menggandingkan Adeline Tsen dengan aktor bertubuh sasa, Zul Arifin, Intan Najuwa dan juga Tiz Zaqyah.
Post comments (0)