Walaupun sarat hamil dan akan melahirkan anak sulungnya tidak lama lagi, pelakon dan penyanyi jelita Fazura tidak berdiam diri, malah tetap mencari kesempatan untuk melancarkan lagu baharu berjudul Noktah.
Lagu berjudul Noktah ini berkisahkan tentang perjalanan cerita daripada sudut pandang wanita yang berada dalam hubungan itu, di mana wanita ini harus tetap kuat menghadapi segala kekecewaan yang dilalui bersama pasangannya.
Apa yang lebih menarik, lagu istimewa ini adalah ciptaan sepenuhnya komposer Ezra Kong! Jika dilihat pada karya ciptaan Ezra Kong, tidak dinafikan dia sudah banyak menghasilkan rangkaian lagu hit untuk carta muzik Malaysia.
Ezra juga sangat memilih dari segi kerjanya dan dengan siapa dia akan bekerja. Ternyata lagu Noktah ini sangat sesuai untuk mommy to be ini.
Mengulas lanjut mengenai karya Ezra, Fazura memberitahu bahawa dia yakin lagu itu mampu melekat di jiwa pendengar terutama wanita kerana pasti ramai yang pernah melalui kisah percintaan sedih dan memilukan.
“Saya pasti setiap wanita pernah merasa tiada harapan apabila berada dalam satu jalinan hubungan cinta yang mempunyai toksik.
“Tak mudah sebenarnya untuk meninggalkan seseorang yang kita sayang, tapi harus melakukannya demi kebaikan sendiri.
“Apa yang penting, sudah tentu kita perlu menghormati dan menyayangi diri sendiri terlebih dahulu dan belajar meninggalkan sesuatu yang gagal untuk dipertahankan,” katanya.
Dalam pada itu, gaun yang digayakan Fazura dalam video muzik lagu Noktah juga dibuat khas oleh Rizman Ruzaini, untuk mencipta saat-saat penting dalam hidupnya sebagai ibu hamil dan ia turut memainkan peranan besar sebagai konsep diketengahkan.
Kini, lagu Noktah boleh didapati di platform digital seperti Spotify, Apple Music, YouTube Music, JOOX, iTunes, KKBox dan juga Deezer. Manakala, video muziknya juga sudah dimuat naik di saluran YouTube Fazura Official.
Sumber dari Harian Metro.
Post comments (0)