Berikutan kes yang meningkat secara mendadak di negeri Sabah, sehingga kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), perkara itu sekali gus mencetuskan kebimbangan antara kedua-dua penyanyi kelahiran Sabah, iaitu Stacy Anam dan Zizi Kirana.
Mereka meluahkan rasa luluh dan risau dengan nasib menimpa negeri kelahiran, terutamanya ahli keluarga yang berada di sana.
Penyanyi yang juga isteri kepada penyanyi Akim Ahmad, Stacy berkata, dia mendoakan ‘mimpi ngeri’ yang sedang dilalui rakyat di negeri kelahirannya itu cepat berlalu memandangkan ramai keluarganya tinggal di sana.
“Ini adalah situasi yang sangat dahsyat menimpa seluruh rakyat Sabah sekarang. Bahkan, ibu saya sendiri yang kerap berulang-alik ke Kuala Lumpur membantu saya di rumah terkandas disebabkan situasi sekarang.
Stacy juga berharap rakyat Sabah terus patuh dengan SOP dan berikan kerjasama sepenuhnya demi keselamatan mereka bersama.
“Saya sangat berharap semua rakyat Sabah memberikan kerjasama mematuhi arahan tidak keluar rumah demi keselamatan masing-masing. Keluarga saya sendiri kini berkurung di rumah disebabkan bimbang dengan keadaan itu.”
“Tiada lain yang saya doakan selain penduduk di sana akan terus menjaga diri dan semoga kes jangkitan akan menurun. Jaga keselamatan diri dan jangan jadikan keadaan lebih teruk dengan tidak memberikan kerjasama membendung penularan itu,” katanya.
Menurut Zizi pula, dia merasa sedih mengenangkan keadaan yang dilalui keluarganya di Semporna apabila kawasan itu diisytihar sebagai zon merah. Bukan itu sahaja, bekalan keperluan rumah di sana juga turut terjejas. Perkara itu merisaukan dirinya.
“Saya ada menghubungi keluarga di sana dan diberitahu berdepan kesukaran untuk mendapatkan bahan keperluan rumah. Semestinya ia memberi kesan apalagi kini mereka terpaksa berkurung di kediaman masing-masing.
“Paling saya risaukan adalah nenek disebabkan dia mengalami penyakit nyanyuk. Takut nanti dia terlupa mengenai perintah kerajaan itu dan keluar merayau disebabkan sudah terbiasa dengan aktivitinya di luar rumah.
Zizi turut memberitahu bahawa dia merisaukan neneknya yang mengalami penyakit nyanyuk. Zizi turut mendoakan agar semua penduduk di Sabah selamat.
“Saya doakan semoga semua penduduk di sana selamat termasuklah barisan hadapan yang bertungkus-lumus siang malam di Semporna,” katanya.
Sumber dari Harian Metro.
Post comments (0)